Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Bekas peguam dilepaskan oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini, tanpa dibebaskan atas tiga pertuduhan melakukan pecah amanah membabitkan wang RM34,300 bagi pembelian rumah, milik firma guamannya 17 tahun lalu selepas pengadu menarik balik kes terhadapnya.

Hakim Mohd Sabri Ismail membuat keputusan itu selepas pengadu, Zolkefli Kadir, 48, yang hadir sebagai saksi memberi keterangan bersumpah untuk menarik kes terhadap Tuah Atan, 63, yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) kerana kudung kedua belah kaki dan tangan kiri.

Dalam keterangannya, pengadu menyatakan mahu menarik kes kerana dirinya kini berdepan kesukaran apabila penglihatannya kabur akibat penyakit dihidapinya.

"Saya datang ke mahkamah pada hari ini untuk menarik balik kes terhadap Tuah. Sebelum ini saya pernah membuat laporan polis berhubung kes ini di Balai Polis Bandar Hilir ketika saya sihat," katanya ketika disoal.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal pada perbicaraan kes hari ini.

Sementara itu, pengadu turut mengakui dia memahami implikasi tindakannya menarik laporan itu iaitu tiada pendakwaan akan diteruskan terhadap tertuduh

"Pegawai penyiasat kes juga ada datang ke rumah untuk merakam keterangan. Saya bersetuju dengan seikhlas hati untuk menarik laporan kes ini dan menurunkan tanda tangan pada laporan," katanya.

Sementara itu, peguam, Mohamed Musthafa memohon tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada ketiga-tiga pertuduhan itu berikutan pengadu menarik balik laporan dan kes sudah berlarutan lama.

Pada 12 Jun 2020, Tuah selaku peguam di firma guaman Tetuan Tuah, Hilmy dan Hazudin didakwa atas tiga pertuduhan iaitu tidak menyerahkan wang diamanahkan berjumlah RM500, RM29,000 dan RM4,800 kepada dua individu dan melakukan pecah amanah dengan membelanjakannya bagi kegunaan sendiri.

Wang itu dibayar pengadu bagi pendahuluan dan bayaran pembelian sebuah rumah di Taman Pokok Mangga.

Tertuduh yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan didakwa melakukan kesalahan itu di firmanya di Jalan Melaka Raya 10 pada 15 November 2005 dan 20 Mac 2006.

Dia didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, suasana syahdu di luar mahkamah apabila Tuah yang bersyukur atas keputusan mahkamah bersalaman dengan pengadu yang terpaksa dipimpin oleh ahli keluarga akibat masalah penglihatan.

Kedua-dua mereka dilihat berpelukan agak lama dan sebak sambil diperhatikan oleh ahli keluarga. Difahamkan Tuah kini menjalankan perniagaan sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 September 2022 @ 6:40 PM