ANGGOTA polis memeriksa tong dram yang dipercayai cuba diseleweng sindiket penyeludupan minyak. FOTO ihsan Polis
ANGGOTA polis memeriksa tong dram yang dipercayai cuba diseleweng sindiket penyeludupan minyak. FOTO ihsan Polis
Aizat Sharif


Padang Besar: Sebanyak 17 tong drum berisi 3,180 liter petrol dan diesel dipercayai untuk diseleweng ke negara jiran dirampas di Kampung Kok Mak, di sini, 2.30 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah berkata, serbuan dilakukan selepas intipan dua jam di kawasan berkenaan.

"Intipan kita bagaimanapun tidak menemui sebarang suspek sekitar kawasan berkenaan dan pemeriksaan selanjutnya menjumpai 17 tong drum berisi diesel dan petrol yang disorokkan dalam semak dilitupi kain kanvas biru.

"Kami merampas 80 liter diesel dan 3,100 liter petrol selain pam sedut minyak dan dua hos getah di mana anggaran keseluruhan rampasan adalah RM10,425," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, siasatan awal mendapati stor haram berkenaan terletak jauh dari kawasan perumahan dan laluannya agak sunyi.

"Siasatan awal kita mendapati jarak di antara stor tersebut dengan jalan utama adalah sekitar 150 meter dan kawasan itu dikelilingi oleh semak-samun.

"Malah, hasil risikan kita juga mendapati stor itu sudah wujud seminggu sebelum serbuan dijalankan," katanya.

Beliau berkata, hasil rampasan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perlis untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu memiliki barang kawalan untuk melakukan kesalahan mengikut Peraturan 3(1) Peraturan Kawalan Bekalan 1974 membabitkan urus niaga barang kawalan berjadual tanpa lesen yang sah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 September 2022 @ 11:00 AM