Zuliaty Zulkiffli


Bukit Kayu Hitam: Sebuah stor terletak di kawasan terlindung dan berhampiran kebun sayur di Kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam di sini, diserbu pihak berkuasa hari ini kerana disyaki terbabit dalam kegiatan penyelewengan diesel dan petrol.

Serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kubang Pasu jam 12 tengah hari.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Kubang Pasu, K Muniandy berkata, berdasarkan intipan dan maklumat yang diterima, pihaknya melakukan pemeriksaan di kawasan itu dan menemui tiga pam minyak.

Beliau berkata, ketika itu terdapat seorang lelaki tempatan berusia 57 tahun yang disyaki penjaga stor berkenaan dan diambil keterangan.

"Hasil siasatan mendapati, stor itu dipercayai baru beroperasi tiga minggu berdasarkan tanah di situ belum kering.

"Pemeriksaan mendapati, terdapat sebuah tangki berisi 15,000 liter diesel manakala pam bawah tanah disyaki mengandungi 2,000 liter petrol yang beroperasi secara haram," katanya pada sidang media di lokasi serbuan hari ini.

Muniandy berkata, siasatan juga mendapati, diesel dan petrol itu dipercayai diseleweng yang digunakan lori kontena masuk dari negara jiran.

Beliau berkata, siasatan juga mendapati petrol dan diesel itu diperolehi dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut.

"Nilai keseluruhan diesel dan petrol yang dirampas dianggarkan RM40,000," katanya.

Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali untuk individu.

Bagi kesalahan syarikat, denda tidak melebihi RM2 juta untuk kesalahan pertama manakala RM5 juta untuk kesalahan kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Ogos 2021 @ 5:27 PM
K.MUNIANDY (kiri) memeriksa minyak yang disimpan di stor haram penyimpanan minyak petrol dan diesel di kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam. FOTO Luqman Hakim Zubir
K.MUNIANDY (kiri) memeriksa minyak yang disimpan di stor haram penyimpanan minyak petrol dan diesel di kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam. FOTO Luqman Hakim Zubir