GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Erika George


PASUKAN Gerakan Am (PGA) Miri merampas 25,400 liter diesel dan 1,700 liter petrol bernilai RM381,112 dalam serbuan dilakukan di sebuah stor di Batu 8, Jalan Bintulu-Miri, di Bintulu, pagi semalam.

Difahamkan, sindiket terbabit aktif melakukan kegiatan penyeludupan itu sejak tiga bulan lalu.

Pegawai Pemerintah Batalion 12 PGA Miri, Superintendan Tan Hiap Seng dalam satu kenyataan media hari ini berkata, pihaknya menahan tiga lelaki tempatan berusia antara 36 hingga 52 tahun dipercayai penjaga stor berkenaan.

“Pemeriksaan dilakukan dalam stor itu menemui 9,400 liter diesel dan 1,700 liter petrol yang disimpan dalam sembilan tong plastik berwarna putih termasuk peralatan mengepam minyak.

“Kita kemudian menemui 16,000 liter diesel dalam tangki lori minyak yang diparkir di hadapan stor berkenaan,” katanya.

Menurutnya, jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM381,112.

“Semakan mendapati bahan api itu tidak mempunyai permit jualan yang sah sekali gus melanggar undang-undang syarat jual beli yang ditetapkan Kementerian Perdagangan Dal Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP),” katanya.

Katanya, semua suspek dan barangan rampasan diserahkan kepada KPDNHEP Cawangan Bintulu untuk tindakan selanjutnya.

Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 January 2020 @ 5:16 PM