Meor Riduwan Meor Ahmad

Melaka: Gara-gara mengambil mak nyah warga Thailand bekerja sebagai tukang urut tanpa permit sah, seorang lelaki didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Hakim Nariman Badruddin menjatuhkan hukuman itu selepas menerima pengakuan bersalah Lim Chong Chee, 57, dan mensabitkannya seperti pertuduhan selain meneliti rayuan, fakta kes serta hujah pendakwaan.

Beliau turut menetapkan tertuduh dipenjara lima bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan Chong Chee didapati mengambil warga Thailand, Poomsuk Simamuang, 35, bekerja tanpa permit sah di premis Huolong Reflexology, Taman Kota Laksamana Jaya pada 24 Ogos lalu, kira-kira jam 10.30 malam.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/1963 dan boleh dihukum mengikut seksyen sama.

Sementara itu, dalam prosiding di Mahkamah Majistret, Poomsuk Simamuang didenda RM1,000 selepas mengaku bersalah melanggar syarat pas lawatan sosial dengan bekerja sebagai tukang urut di premis terbabit pada tarikh dan masa sama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Pendakwaan dijalankan berasingan oleh Timbalan Pendakwa Raya Anis Najwa Nazari dan Muhamad Ehsan Nasaruddin, masing-masing, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Faiezad Razali.

TERTUDUH didenda RM10,000 atas kesalahan menggaji warga asing tanpa permit. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
TERTUDUH didenda RM10,000 atas kesalahan menggaji warga asing tanpa permit. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 September 2022 @ 9:18 PM