Murni Wan Omar dan Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Pasukan pembelaan akan mengemukakan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan Datin Seri Rosmah Mansor dipenjara 10 tahun bagi setiap tiga tuduhan yang berjalan serentak dan denda RM970 juta.

Peguamnya, Datuk Jagjit Singh berkata, rayuan akan dibuat dalam masa terdekat dan mengikut masa ditetapkan mahkamah.

"Ya, saya akan mengemuka notis rayuan. Kita buat rayuan ikut masa diberi (mahkamah), mungkin esok. Kita ada 10 hari untuk merayu terhadap semua kes itu.

"Rosmah dibebaskan dengan jaminan ditetapkan oleh mahkamah. Syukur kepada tuhan, Rosmah boleh pulang ke rumah malam ini untuk bersama keluarga," katanya pada sidang media di lobi Kompleks Mahkamah di sini, hari ini.

Mengenai kegagalan pembelaan memohon supaya Mohamed Zaini menarik diri daripada mendengar kes itu, Jagjit berkata, pihaknya mempunyai hak untuk membuat rayuan terhadap perkara berkenaan mengikut Seksyen 3 Akta Kehakiman.

"Hari ini kita memohon supaya hakim menarik diri dan biar hakim lain dengar kes itu. Namun, permohonan itu tidak dibenarkan dan hakim terus menjatuhkan hukuman terhadap Rosmah.

"Saya kena kembali baca buku undang-undang, adakah ia mengikut prosedur yang betul," katanya.

ROSMAH tiba di Mahkamah Rayuan, Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
ROSMAH tiba di Mahkamah Rayuan, Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata, pihaknya juga sudah menjalankan tugas terbaik bagi memenuhi aspirasi mahkamah membabitkan perbicaraan kes rasuah Rosmah.

"Korupsi (rasuah) adalah satu perkara yang jahat. Saya berasa orang awam sedar ia adalah jahat dan kami berkhidmat untuk mereka.

"Sistem kehakiman dan pendakwaan menerima bahagian keadilan mereka. Keadilan bukan sahaja untuk tertuduh, tetapi ia untuk semua," katanya pada sidang media di lobi Kompleks Mahkamah.

Sri Ram berkata, sebagai bekas hakim, beliau mengetahui bahawa hukuman diberikan terhadap Rosmah oleh Mohamed Zaini bukan satu perkara mudah.

Katanya, hakim itu perlu adil dalam membuat keputusan dan merasakan hukuman penjara 10 tahun itu mencukupi.

"Kita tidak bercadang untuk membut rayuan terhadap hukuman berkenaan hingga Jabatan Peguam Negara (AGC) berasa sebaliknya. Saya juga ingin memberi kredit kepada pasukan pendakwaan dalam kes ini yang menjadi sumber kekuatan saya.

"Tiada Timbalan Pendakwa Raya atau pegawai penyiasat yang mempunyai kepentingan peribadi dalam kes ini. Kami diberi tugas dan kami melakukannya. Sebarang tuduhan dilemparkan kepada Timbalan Pendakwa Raya ada yang tidak adil.

"Kredit yang besar untuk pendakwaan kes ini juga harus diberikan kepada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)," katanya.

Terdahulu, Hakim Mohamed Zaini Mazlan membenarkan pelaksanaan hukuman penjara dan denda itu ditangguhkan hingga Rosmah mengemukakan rayuan.

Jika gagal membayar denda berkenaan, Rosmah perlu menjalani hukuman penjara tambahan 30 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 September 2022 @ 6:46 PM