Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Johor Bahru sedang mengesan ibu kandung atau waris kepada seorang bayi lelaki berusia lima bulan bagi urusan penjagaan dan perlindungannya. FOTO Ihsan JKM Johor Bahru.
Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Johor Bahru sedang mengesan ibu kandung atau waris kepada seorang bayi lelaki berusia lima bulan bagi urusan penjagaan dan perlindungannya. FOTO Ihsan JKM Johor Bahru.
Izlaily Nurul Ain Hussein


JABATAN Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor sedang mengesan waris bayi lelaki berusia lima bulan dinamakan sebagai Noah yang mengalami masalah kepala besar akibat lebihan cecair dalam kepala.

Timbalan Pegawai JKM Daerah Johor Bahru, Maghfurah Mohd Zahir berkata, sebelum dirujuk ke JKM, bayi lelaki berkenaan dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) oleh penjaganya dalam kejadian lebih sebulan lalu.

Beliau berkata, bayi berkenaan kemudian dimasukkan ke wad kerana menghidap penyakit kepala besar dan sawan.

Pihaknya difahamkan bayi berkenaan diserahkan oleh ibu kandungnya kepada seorang penjaga iaitu wanita warganegara Indonesia.

“Ibu kandung bayi ini minta wanita berkenaan menghantar anaknya ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Sejak dihantar ke HSA, waris, ibu kandung atau penjaganya tidak datang menjenguknya.

“Kami percaya, waris atau penjaga itu dengan sengaja mahu melepaskan tanggungjawab dan meninggalkan bayi yang berdepan masalah kesihatan di HSA.

“Sehingga kini, tiada tuntutan dibuat terhadap bayi berkenaan hingga masa depannya menjadi tanda tanya,” katanya.

Maghfurah berkata, Noah kini ditempatkan sementara di institusi di bawah JKM menerusi perintah jagaan sementara mengikut subseksyen 25(2) Akta Kanak-Kanak 2001 yang dikeluarkan Mahkamah Majistret Johor Bahru.

“Sehingga kini, kami masih belum peroleh identiti bayi atau ibu kandungnya. Pada masa sama, kami percaya bayi berkenaan tidak dilahirkan di hospital awam di bandar raya ini.

“Bayi berkenaan tidak lagi mengalami sawan dan mendapatkan rawatan susulan di HSA bagi merawat masalah cecair berlebihan di kepala,” katanya.

Katanya, berikutan itu JKM meminta kerjasama orang ramai bagi mengesan waris bayi berkenaan untuk membincangkan masa depannya.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan waris bayi ini diminta menghubungi talian 07-2232606 untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mac 2019 @ 3:31 PM