JKM sedang mencari ibu kandung kepada bayi perempuan berusia 11 bulan. FOTO ihsan JKM
JKM sedang mencari ibu kandung kepada bayi perempuan berusia 11 bulan. FOTO ihsan JKM
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mencari ibu kandung kepada bayi perempuan berusia 11 bulan yang mengalami komplikasi kesihatan selepas sembuh daripada jangkitan Covid-19.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Johor Bahru, Adnan Md Yassin berkata, bayi berkenaan masih berada di Hospital Sultanah Aminah (HSA) kerana menjadi mangsa pengabaian.

Beliau berkata, sepatutnya bayi berkenaan dibenarkan pulang selepas selesai menjalani rawatan akibat jangkitan Covid-19 sejak dilahirkan di hospital berkenaan.

Menurutnya, sistem respiratori bayi itu terjejas hingga terpaksa bergantung kepada bantuan oksigen. Katanya, difahamkan bayi itu berisiko sekiranya tidak dibekalkan oksigen bagi tempoh melebihi 20 minit serta mungkin memerlukan penjagaan setiap masa selepas dibawa pulang.

"Mengikut rekod hospital, ibu bayi itu dikenali sebagai Rozana Roslan berusia 20 tahun.

"Wanita itu berjanji mahu membawa anaknya pulang sebaik rawatan selesai bagaimanapun gagal menuntut hingga pihak hospital berdepan masalah untuk urusan discaj.

"Sehingga kini wanita itu gagal menghubungi pihak hospital dan usaha JKM bagi menjejaknya di sebuah flat di Taman Ungku Tun Aminah (TUTA) di sini, juga gagal.

"Kami mendapati rumah berkenaan disewa penghuni lain dan wanita terbabit difahamkan sudah berpindah," katanya menerusi siaran media hari ini.

Adnan berkata, pihaknya berharap orang ramai membantu mengesan ibu kandung bayi berkenaan bagi membincangkan masa depannya.

"Bagi maklumat lanjut, orang ramai diminta menghubungi 07-2232606 atau 07-2232607," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Ogos 2022 @ 12:15 PM