Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Lebih 10,000 pengunjung membanjiri Dataran Bandaraya Ipoh menyaksikan Sambutan Ambang Merdeka 2022 Peringkat Negeri Perak, di sini malam tadi.

Pengunjung mula memenuhi ruang dataran berkenaan seawal 6 petang.

Pelbagai program menarik disusun antaranya persembahan tarian kebudayaan, deklamasi sajak, saksofon dan sketsa menghiburkan hadirin yang terdiri daripada penduduk berbilang kaum dan bangsa.

Beberapa barisan artis terkenal turut membuat persembahan antaranya Amira Othman, MonoloQue dan Hael Husaini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan isterinya, Datin Seri Aezer Zubin serta barisan Exco turut hadir meraikan sambutan bersama penduduk setempat.

Bermula jam 11 malam, program semakin meriah dan pengunjung semakin memenuhi ruang dataran berkenaan teruja menunggu detik ambang Merdeka.

Program disusuli dengan ucapan yang disampaikan oleh Saarani sebelum kumpulan beruniform menyerahkan bendera Jalur Gemilang untuk diserahkan kepada penguat kuasa MBI untuk dikibarkan.

Ketika menghampiri jam 12 malam, kiraan 'countdown' dilakukan sebelum diteruskan dengan laungan 'Merdeka', lagu Negaraku dan Jalur Gemilang dinyanyikan beramai-ramai dan diakhiri dengan pertunjukan bunga api.

Sementara itu, Saarani ketika berucap berkata, semua diseru untuk sama-sama menghayati tema Hari Kebangsaan tahun ini iaitu 'Keluarga Malaysia Teguh Bersama'.

"Tema ini mengajak kita semua untuk memperteguhkan semangat solidariti dalam mengharungi cabaran mendatang yang tentunya tidak mudah dan menuntut kita untuk memperteguhkan nilai-nilai perpaduan dan kebersamaan.

"Alhamdulillah kita berpeluang meraikan Sambutan Ambang Kemerdekaan Peringkat Negeri Perak bagi tahun 2022 dalam suasana penuh kemeriahan dan keharmonian pada malam ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Ogos 2022 @ 1:20 AM