Dr Sha’ari Ngadiman.
Dr Sha’ari Ngadiman.
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) mengesan sejumlah 3,136 produk makanan yang melanggar pelbagai kesalahan berkaitan pelabelan menerusi Operasi Penguatkuasaan Label Makanan 2022 yang dilaksanakan sejak 24 Ogos lalu.

Pengarah JKNS Datuk Dr Sha'ari Ngadiman berkata, operasi berkenaan disertai 11 Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan Pejabat Kesihatan Pintu Masuk yang mana bertujuan untuk memastikan makanan yang dijual di pasaran tempatan adalah selamat dan berkualiti selaras dengan keperluan pelabelan mengikut Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya.

Menurutnya, sebanyak 49 buah premis meliputi pasar raya, pasar mini, kedai serbaneka dan kedai runcit diperiksa yang membabitkan pemantauan terhadap 7,297 produk makanan secara keseluruhannya.

"Daripada jumlah produk makanan yang diperiksa, didapati sebanyak 43 peratus atau 3,136 didapati melanggar pelbagai kesalahan berkaitan label yang mana paling banyak dikesan adalah produk tidak mempunyai nama sebutan sebenar, kesalahan bahasa yang digunakan dan tidak mempunyai alamat pengeluar atau pengedar.

"Selain daripada itu, kesalahan yang turut dikesan adalah produk sudah tamat tarikh luput dan bungkusan yang rosak seperti tin kemek atau kembung.

"Kesemua produk makanan berkenaan yang bernilai kira-kira RM26,390 sudah diarah supaya dialihkan daripada rak pameran jualan untuk disita mengikut Seksyen 4(1)(f) dan persetujuan pelupusan mengikut Seksyen 4(8), Akta Makanan 1983," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 31 Notis 32B (notis memerintahkan kehadiran di mahkamah) yang bernilai kira-kira RM91,500 atas pelbagai kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Makanan 1985 juga dikeluarkan semasa operasi terbabit.

Jelasnya, JKNS menyeru pengusaha pasar raya, pasar mini, kedai serbaneka dan kedai runcit di seluruh Selangor untuk sentiasa memastikan produk makanan yang dijual di premis masing-masing mematuhi segala keperluan perundangan (Akta Makanan 1983).

"Pengusaha boleh juga didakwa di mahkamah sekiranya didapati menjual produk makanan yang menyalahi keperluan pelabelan dan lain-lain keperluan perundangan mengikut akta terbabit.

"Jika pengusaha gagal menjelaskan kompaun yang dikeluarkan, tindakan pendakwaan akan dilakukan dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak lebih daripada RM10,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih daripada dua tahun atau kedua-duanya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Ogos 2022 @ 3:00 PM