Penguat kuasa JKNS memeriksa label pada produk makanan dalam Ops Khas Akuan Kesihatan Khamis lalu. FOTO Ihsan JKNS
Penguat kuasa JKNS memeriksa label pada produk makanan dalam Ops Khas Akuan Kesihatan Khamis lalu. FOTO Ihsan JKNS
Norzamira Che Noh


SEBANYAK 648 produk makanan pelbagai jenis bernilai RM20,560 dirampas dan disita dalam ‘Ops Khas Akuan Kesihatan’ yang dijalankan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) di seluruh negeri itu 17 Oktober lalu.

Pengarah Kesihatan Negeri Datuk Dr Khalid Ibrahim berkata, produk makanan itu dirampas hasil pemeriksaan di 16 premis jualan kerana tidak mematuhi keperluan pelabelan produk makanan yang dinyatakan dalam Peraturan-Peraturan Makanan (PPM) 1985.

“Selain merampas produk makanan, 10 notis mengikut Seksyen 32B Akta Makanan 1983 bagi pelbagai kesalahan yang boleh dikompaun dikeluarkan dengan nilai kompaun RM30,000.

“Antara kesalahan paling ketara terdapat akuan kesihatan yang tidak dapat disahkan dan mengandungi pernyataan mengenai khasiat sesuatu makanan dalam perawatan atau penyembuhan penyakit tertentu.

“Selain itu, penandaan tarikh juga dititikberatkan yang mana penjualan atau mengimport produk makanan yang sudah tamat tempoh tidak dibenarkan,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, perkara lain yang turut diperiksa bagi semua label makanan tertumpu kepada nama dan alamat pengilang yang perlu dinyatakan.

“Sebagai contoh, bagi produk makanan yang dikeluarkan, disediakan atau dibungkus di Malaysia, label makanan perlu menyatakan nama dan alamat pengilang atau pembungkus atau pengedar,” katanya.

Operasi berkenaan mensasarkan premis yang menjual produk makanan kesihatan seperti farmasi, kedai jamu dan kedai jualan runcit.

Katanya, bagi produk makanan yang diimport, label makanan perlu menyatakan nama dan alamat pengilang di luar negara serta nama dan alamat syarikat pengimport di Malaysia.

“JKNS melalui Bahagian Keselamatan dan

Kualiti Makanan (BKKM) dapati terdapat lambakan produk kesihatan yang mempunyai akuan kesihatan tidak dapat disahkan dan boleh memperdayakan pengguna sehingga mendatangkan kemudaratan.

“Objektif operasi ini adalah untuk mengenalpasti kepatuhan akuan yang dibenarkan pada pelabelan produk makanan dan minuman kesihatan yang berada di premis jualan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Oktober 2019 @ 4:54 PM