PENGUAT kuasa JKNS memeriksa arak di sebuah premis dalam Ops Minuman Beralkohol, Khamis lalu. FOTO Ihsan JKNS.
PENGUAT kuasa JKNS memeriksa arak di sebuah premis dalam Ops Minuman Beralkohol, Khamis lalu. FOTO Ihsan JKNS.
Nur Lela Zulkipli


JABATAN Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) merampas 831 produk minuman keras pelbagai jenama bernilai RM11,695 dalam Ops Minuman Beralkohol di seluruh negeri.

Pengarah JKNS, Datuk Dr Khalid Ibrahim berkata, operasi pada Khamis itu memeriksa 92 premis yang menjual minuman keras.

Katanya, semua barangan itu dirampas kerana tidak mematuhi keperluan pelabelan produk minuman beralkohol yang dinyatakan di dalam Peraturan-Peraturan Makanan (PPM) 1985.

“Di samping itu, sebanyak 15 notis di bawah Seksyen 32B Akta Makanan 1983 bagi pelbagai kesalahan dikompaun berjumlah RM52,500,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dr Khalid berkata, pelbagai kesalahan dilakukan penjual minuman itu antaranya gagal mempamerkan notis di hadapan lokasi jualan.

“Selain itu, penjual gagal meletakkan tanda larangan jualan minuman beralkohol kepada mereka yang berumur di bawah 21 tahun di kaunter jualan.

“Bukan itu saja, terdapat penjual yang tidak menyediakan kabinet atau rak yang berasingan bagi mempamerkan minuman beralkohol dengan makanan lain untuk jualan,” katanya.

Menurutnya, JKNS sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara yang boleh menyebabkan kekeliruan serta penipuan dalam pengilangan dan penjualan produk makanan kepada pengguna.

“Tindakan penguatkuasaan yang berterusan akan dilakukan bagi memastikan tahap keselamatan dan kualiti makanan di negara ini terkawal.

“Pengguna boleh menghubungi terus JKN Selangor atau Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat mahupun menerusi laman web http://moh.spab.gov.my atau facebook, ‘jknselangor’ jika terdapat aduan berkaitan dengan keselamatan makanan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 September 2019 @ 3:29 PM