Hazira Ahmad Zaidi


Kuala Krai: Seramai 554 guru dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Manek Urai, di sini, menzahirkan semangat patriotik dengan cara tersendiri apabila menekap tangan mereka di atas kain putih untuk menghasilkan Jalur Gemilang.

Pengetua SMK Manek Urai, Mazlan Abdul Rashid berkata, idea itu dilakukan bagi menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan guru dan pelajar sekolah berkenaan sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-65.

Katanya, setiap guru dan pelajar perlu menekap tapak tangan mereka di atas kain putih bersaiz lapan meter lebar dan tinggi 4.5 meter bagi membentuk Jalur Gemilang yang kemudian digantung di bangunan sekolah.

"Sebelum Jalur Gemilang ini ditekap menggunakan cap tangan, seramai lapan pelajar Tingkatan Empat dan Lima yang mengambil mata pelajaran seni visual dengan bimbingan tiga guru membuat lakaran bendera Malaysia di atas kain putih sebelum ditekap menggunakan tapak tangan.

"Kami mengambil masa hampir seminggu bermula Jumaat lalu bagi menyiapkan kreativiti Jalur Gemilang menggunakan tapak tangan dengan anggaran kos keseluruhan berjumlah RM350 termauk membeli cat dan kain putih.

"Bagi melengkapkan Jalur Gemilang menggunakan tapak tangan guru dan pelajar, kami meluangkan masa selama dua jam bermula 4 hingga 6 petang kerana tidak mahu mengganggu guru dan juga proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) di sekolah," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Ambang Merdeka oleh Timbalan Pengarah Pendidikan (Sektor Pembangunan Murid) Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Mashadi Mustafa di SMK Manek Urai, di sini, hari ini.

Terdahulu, lebih 50 pelajar Tingkatan Empat dan Lima termasuk guru menyertai konvoi bermotosikal sejauh lapan kilometer sambil mengibarkan Jalur Gemilang.

Mazlan berkata, hasil tapak tangan berwarna merah, biru, dan kuning yang ditekap itu menggambarkan kesepakatan, bekerjasama dan sehati sejiwa dalam menyempurnakan bendera gergasi itu.

Katanya, program sambutan hari kebangsaan diadakan pada setiap tahun dalam usaha menyemai semangat cintakan negara, selain menghargai nikmat kemerdekaan yang diperoleh lebih enam dekad lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Ogos 2022 @ 2:05 PM
GURU dan pelajar SMK Manek Urai menzahirkan semangat patriotik dengan cara tersendiri apabila mencipta Jalur Gemilang menggunakan cap tangan. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
GURU dan pelajar SMK Manek Urai menzahirkan semangat patriotik dengan cara tersendiri apabila mencipta Jalur Gemilang menggunakan cap tangan. FOTO Hazira Ahmad Zaidi