Pelajar dan warga pendidik yang mengenakan pakaian berasaskan Jalur Gemilang menyambut bulan kemerdekaan di SMK Kampung Laut. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Pelajar dan warga pendidik yang mengenakan pakaian berasaskan Jalur Gemilang menyambut bulan kemerdekaan di SMK Kampung Laut. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Mohamad Zulhairie Manzaidi


SEKOLAH Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Laut, Tumpat membuat persiapan awal sejak Disember tahun lalu, bagi menyambut Hari Kemerdekaan ke-60 dengan mengumpulkan 1,000 Jalur Gemilang.

Kemuncak sambutan di sekolah itu, hari ini, yang menerima Jalur Gemilang ke-1,000 daripada Persatuan Berbasikal Tumpat.

Pengetua SMK Kampung Laut, Jamari Othman berkata, gerakan mengumpul Jalur Gemilang dilakukan sejak awal tahun lagi dengan pertolongan komuniti setempat.

Katanya, sejak 1 Ogos lalu, pihaknya sudah mula menggantung bendera di kawasan persekitaran sekolah dengan bantuan guru, kakitangan dan pelajar sekolah.

"Sebanyak 999 Jalur Gemilang digantung di kawasan sekolah dan hari ini, sempena dengan sambutan hari kemerdekaan, kami menerima bendera ke 1,000 dan ia dinaikkan di tiang utama di sekolah ini.

"Kami berjaya mencapai sasaran mengumpul Jalur Gemilang yang menunjukkan semangat patriotik dalam diri terutama pelajar dan guru sekolah," katanya ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Bulan Kemerdekaan, Kibaran 1,000 Jalur Gemilang di SMK Kampung Laut, hari ini.

Katanya, banyak program kemerdekaan diatur pihak sekolah bagi memupuk semangat patriotik dalam kalangan pelajar.

"Antara program yang dianjurkan adalah hiasan bendera, kuiz kemerdekaan, sketsa, reka cipta logo, bicara dan banyak lagi.

"Untuk bulan Ogos, sekolah ini penuh dengan aktiviti kemerdekaan dan ia membabitkan 1,072 orang pelajar tingkatan satu hingga lima," katanya.

Beliau berharap sambutan bulan kemerdekaan dapat diteruskan pada masa hadapan supaya pelajar tahu betapa susahnya pejuang dahulu berjuang membebaskan negara.

#kw Jalur Gemilang 1,000, Hari Kemerdekaan ke-60

#loc 6.1580418000000003, 102.22800410000001

Tamat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Ogos 2017 @ 2:46 PM