Oleh Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Polisi baharu diwujudkan bagi membantu menyelesaikan isu membabitkan perumahan generasi kedua Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) di negeri ini, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Saarani berkata, sejak dahulu lagi timbul masalah membina rumah generasi kedua kerana terikat dengan peruntukan Akta Penempatan Berkelompok (GSA) 1967.

"Peruntukan dalam GSA menetapkan hanya sebuah rumah boleh dibina dalam satu plot tapak meskipun kawasan itu sebenarnya mencukupi untuk dibina satu ke dua rumah lain.

"Kalau di kampung tradisional, di keliling rumah mak bapa, ada rumah anak-anak boleh dibina, tetapi keadaan ini berbeza di penempatan Felda, tidak boleh dibuat begitu kerana terikat dengan GSA," katanya pada sidang media selepas hadir Program Mesra Bersama FELDA Perak di Laman Seri Ridzuan di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Peneroka Felda Kebangsaan, Sulong Jamil Mohamed Shariff.

Beliau berkata, sehubungan itu untuk membolehkan pembinaan rumah generasi kedua perlu satu polisi yang memerlukan kerjasama dan persefahaman antara kerajaan negeri, FELDA dan Ketua Pengarah Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG).

"Kerajaan negeri akan memanggil semula JKPTG untuk duduk berbincang mengenai pindaan dan semakan GSA terbabit," katanya.

Menurutnya, Perak terdapat 17 tanah rancangan FELDA dan memang terdapat permintaan agar rumah generasi kedua dapat dibina di tapak sama.

"Kita mempunyai masalah kerana semua kawasan FELDA ini adalah di bawah GSA dan gerannya dipanggil geran berangkai antara tapak rumah dengan kebun,"katanya

Justeru, katanya, beliau berbincang dengan FELDA untuk memanggil semula JKPTG untuk menyemak semak GSA sama ada boleh dibatalkan.

"Selepas itu geran antara tapak rumah dan kebun itu boleh dirungkaikan untuk membenarkan rumah kedua dibina di tapak sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Ogos 2022 @ 4:01 PM
 Saarani ketika ditemui pemberita selepas hadir Program Mesra bersama Felda Perak di Laman Seri Ridzuan. FOTO Balqis Jazimah Zahari
Saarani ketika ditemui pemberita selepas hadir Program Mesra bersama Felda Perak di Laman Seri Ridzuan. FOTO Balqis Jazimah Zahari