WAN Junaidi  ditemubual wartawan selepas sidang Dewan Rakyat di bangunan Parlimen., semalam.
WAN Junaidi ditemubual wartawan selepas sidang Dewan Rakyat di bangunan Parlimen., semalam.

Kuala Lumpur: Dakwaan pihak tertentu mengatakan tanah rizab Melayu mengalami penurunan sebelum ini dibuat tanpa merujuk kepada agensi kerajaan berkaitan iaitu Jabatan Ketua Pengarah Tanah & Galian Persekutuan (JKPTG).

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, hakikatnya, tanah rizab Melayu di Semenanjung meningkat 30 peratus kepada 1.93 juta hektar pada 2013 berbanding 1997.

Katanya, memang benar ada tanah rizab Melayu yang dibangunkan, tetapi ia diganti di tempat lain dan tidak diketahui umum.

“Justeru, tidak benar dakwaan menyatakan tanah rizab Melayu semakin susut. Saya percaya dakwaan ini dibuat penilaian tanpa merujuk kepada agensi berkaitan dengan tanah.

“Saya menasihatkan orang ramai mendapatkan maklumat daripada agensi dan jabatan berkaitan dan jangan membuat tuduhan melulu dan mengelirukan rakyat,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Kanun Tanah Negara (Pindaan) 2016 di Dewan Rakyat, semalam.

Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata, beliau boleh memberikan maklumat terperinci mengenai perkara itu selain mereka yang berminat boleh menghubungi JKPTG.

Katanya, mengenai tanah adat di Sarawak, kerajaan memperuntukkan geran RM20 juta kepada kerajaan negeri bagi melaksanakan kajian parameter tanah berkenaan di negeri itu.

“Setakat ini, 1 juta hektar parameter tanah dikesan dan kerajaan dijangka menambah peruntukan bagi tujuan sama,” katanya sambil menyeru kerajaan negeri memantau penggunaan tanah rizab Melayu di negeri masing-masing.

Berhubung isu bauksit, Wan Junaidi berkata, perlombongan bauksit hanya dibenarkan semula jika pihak industri mematuhi semua peraturan ditetapkan kementerian.

Antaranya, penggunaan lori khas bertutup khusus untuk mengangkut bauksit, prosedur operasi standard (SOP) serta kawalan tempat stok simpanan bauksit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mei 2016 @ 7:13 AM