Hadzlihady Hassan


DUA kapal yang digunakan untuk mengorek dan memindah pasir secara tidak sah ditahan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang di kedudukan 7 hingga 8 batu nautika barat daya Pulau Kendi, dekat Georgetown hari ini.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Pulau Pinang Ahmad Faiz Md Ghani

berkata, penahanan dua kapal itu dibuat hasil maklumat dan risikan yang dijalankan Jabatan

Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG).

Menurutnya, bertindak berdasarkan maklumat itu, sepasukan anggota penguatkuasa bersama bot melancarkan operasi khas ke lokasi kejadian.

"Kapal pertama yang berdaftar di Republik Dominika ditahan pada 8.45 pagi dan 11 kru warga China dikesan berada dalam kapal pengorek pasir berkenaan.

"Seterusnya, kita menahan kapal kedua di kedudukan 500 meter dari kapal pertama dan terdapat lima kru warga China di atas kapal yang berdaftar di Sierra Leone terbabit yang berperanan menyimpan sebelum memindahkan pasir yang dikorek itu ke kawasan darat di Pulau Pinang," katanya pada sidang media di Georgetown, hari ini.

Menurutnya, siasatan mendapati permit yang dikeluarkan JKPTG kepada dua kapal itu untuk melakukan kerja mengorek dan memindahkan pasir didapati sudah tamat tempoh.

"Permit mereka sudah tamat tempoh pada 18 Oktober lalu namun dua kapal berkenaan didapati masih menjalankan kerja mengorek dan memindahkan pasir.

"Dua kapal terbabit bersama pasir yang dirampas itu bernilai RM20 juta dan semua kru berusia 28 hingga 52 yang ditahan mempunyai dokumen perjalan sah," katanya.

Menurutnya, pihaknya kini sedang mengesan pemilik dua kapal berkenaan dan siasatan lanjut kes terbabit sedang dilakukan mengikut Akta Pelantar Benua 1966 dan Syarat Lesen Perkapalan 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 November 2018 @ 10:56 PM