Nepenthes Rafflesiana (gambar kiri). Gambar kanan, mengkarung hutan yang memerlukan penelitian lanjut kerana berpotensi menjadi spesies baharu ditemui. FOTO Ihsan JPNJ
Nepenthes Rafflesiana (gambar kiri). Gambar kanan, mengkarung hutan yang memerlukan penelitian lanjut kerana berpotensi menjadi spesies baharu ditemui. FOTO Ihsan JPNJ
Omar Ahmad


Kota Tinggi: Lebih 500 spesies haiwan dan tumbuhan, termasuk 230 spesis tumbuhan berbunga dijumpai dan direkodkan di Hutan Simpan Panti, di sini.

Kesemua spesis itu direkodkan hasil penganjuran Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan sepanjang lima hari bermula 21 Ogos hingga semalam.

Pengarah Perhutanan Negeri Johor (JPNJ) Datuk Salim Aman berkata 230 spesis tumbuhan berbunga yang ditemui membabitkan empat spesies endemik dan satu rekod baharu.

Katanya, selain itu, sebanyak 230 spesis tumbuhan herba, 50 spesis macrofungi, beberapa spesis orkid dan 11 spesis halia liar.

"Turut direkodkan 17 spesis pepatung, tujuh spesis kupu-kupu, 50 spesis semut, lapan spesis belalang pigmi, 39 spesies labah-labah, 20 spesies katak termasuk satu rekod baru dan 16 spesies reptilia termasuk tujuh rekod baharu.

"Juga direkodkan ialah 52 spesies ikan, 128 spesies burung termasuk spesies ikon Panti iaitu Malaysian Rail Babler dan beberapa lagi spesies fauna seperti Lotong Cenekah, landak Raya, Asian Golden Cat, Barking Deer dan Flat-headed cat," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Penganjuran Ekspedisi pada kali ini adalah penganjuran bersama Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, JPNJ dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia diketuai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTHM, Prof Dr Mohd Shahir Shamsir Omar.

Menurut Salim, tujuan ekspedisi saintifik kali ini adalah untuk mengumpulkan data dan maklumat mengenai kepelbagaian biologi hutan terkini, khususnya Hutan Simpanan Kekal.

Katanya ia juga dapat membantu penyelidik dan pembuat dasar khususnya kerajaan negeri dalam pengurusan dan pemeliharaan sumber alam semula jadi negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Ogos 2022 @ 4:32 PM