SALIM (kanan) meninjau aktiviti perolehan biji benih pokok menerusi kaedah memanjat oleh Pasukan Pemanjat JPNJ di Hutan Simpan Panti, semalam.
SALIM (kanan) meninjau aktiviti perolehan biji benih pokok menerusi kaedah memanjat oleh Pasukan Pemanjat JPNJ di Hutan Simpan Panti, semalam.
BERNAMA

Kota Tinggi: Jabatan Perhutanan Negeri Johor (JPNJ) menyasarkan empat juta pokok ditanam dalam tempoh lima tahun bagi menjayakan agenda penghijauan Malaysia menerusi Kempen Penanaman 100 Juta Pokok di seluruh negara menjelang 2025.

Pengarah JPNJ Datuk Salim Aman berkata 230,000 pokok melibatkan 43 spesies ditanam di Johor sejak kempen dilancar pada 5 Januari lepas.

"Di Johor, kita menetapkan sasaran 4 juta pokok ditanam dalam tempoh lima tahun menjelang akhir 2025 dengan purata 800,000 pokok setahun.

"Sejak program dilancarkan, 230,000 pokok ditanam di negeri ini. Di peringkat nasional, 13 juta pokok daripada 724 spesies ditanam melibatkan 55 agensi dan 3,128 individu," katanya selepas melawat aktiviti perolehan biji benih pokok menerusi kaedah memanjat oleh Pasukan Pemanjat JPNJ di Hutan Simpan Panti di sini, semalam.

ANGGOTA pasukan memanjat pokok untuk mengambil biji benih. FOTO BERNAMA
ANGGOTA pasukan memanjat pokok untuk mengambil biji benih. FOTO BERNAMA

Beliau berkata, inisiatif Program Penghijauan Malaysia itu merupakan antara usaha dan komitmen negara di peringkat antarabangsa untuk mengekalkan 50 peratus daripada keluasan tanah negara dilitupi pokok dan kawasan berhutan.

Menurutnya, JPNJ bertanggungjawab menyelaras program itu di peringkat negeri serta giat membuat hebahan menggalakkan pelbagai pihak termasuk jabatan dan agensi kerajaan, selain syarikat dan orang ramai untuk turut sama menjayakan usaha itu.

Katanya, orang ramai boleh menyertai program berkenaan dengan mendaftar menerusi aplikasi program Penghijauan Malaysia dan mereka turut berpeluang untuk mendapat ganjaran.

Selain itu, Salim berkata, fenomena mass flowering atau pendebungaan secara besar-besaran yang berlaku di sebahagian besar hutan di negara ini membantu jabatan itu mengeluarkan lebih banyak anak pokok.

BENIH pokok yang berjaya dikumpul. FOTO BERNAMA
BENIH pokok yang berjaya dikumpul. FOTO BERNAMA

"Fenomena ini unik dan jarang berlaku kerana ia terjadi selang beberapa tahun.

"Ia membantu kita dan jabatan perhutanan negeri lain buat kutipan biji benih dan disemai bagi mengeluarkan lebih banyak anak pokok yang boleh ditanam, sekali gus menyokong program ini," katanya dan menambah ada tujuh tapak semaian di Johor yang mampu menampung 272,100 pokok.

Salim menjelaskan antara kaedah kutipan biji benih dengan menggunakan galah bagi pokok rendah iaitu sekitar tiga hingga lima meter, mengutip biji benih jatuh secara semula jadi di atas lantai hutan, melastik tali ke dahan bagi pokok tinggi, menggoncang dahan dengan menggunakan tali dan kaedah memanjat dilakukan pasukan perolehan untuk menjatuhkan biji benih.

TIMBALAN  Pengarah JPNJ Abd Ramlizauyahuddin Mahli (tengah) mendengar penerangan daripada Penolong Pegawai Ladang Hutan Johor Muhammad Sofee Muhammad  (kiri). FOTO BERNAMA
TIMBALAN Pengarah JPNJ Abd Ramlizauyahuddin Mahli (tengah) mendengar penerangan daripada Penolong Pegawai Ladang Hutan Johor Muhammad Sofee Muhammad (kiri). FOTO BERNAMA

Beliau berkata, pihaknya sentiasa menjalankan pemantauan bagi mengenal pasti pokok yang berbunga di Hutan Simpan Kekal untuk dilakukan aktiviti pengumpulan biji benih.

"Selain itu, kita menggunakan sistem e-Forgis iaitu pangkalan data dan maklumat pokok dimasukkan ke dalam sistem itu, selain pemantauan menggunakan dron," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Ogos 2021 @ 7:01 AM