Nur Izzati Mohamad


Kepala Batas: Calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican enggan mendabik dada selepas menyandang kerusi itu sejak dua penggal lalu.

Katanya, semua calon yang bertanding Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi kerusi itu mempunyai peluang seimbang untuk menang.

Bagaimanapun, beliau tetap meletakkan keyakinan bahawa rakyat Kepala Batas akan memberikannya mandat sekali lagi untuk mewakili mereka.

"Kali ini setiap calon yang bertanding mempunyai peluang yang seimbang, namun segala-galanya diserahkan kepada pengundi untuk menentukan," katanya pada Majlis Santai Bersama Media di Wisma Umno Kepala Batas di sini, semalam.

Reezal Merican berkata, pengundi mengimpikan sebuah kerajaan yang lebih stabil dibentuk selepas PRU-15, justeru memerlukan elemen 'semak dan imbang' antara wakil rakyat dengan rakyat.

REEZAL Merican (tengah) ketika pelancaran Aku Janji Demi Kepala Batas di Wisma Umno Kepala Batas, Bertam, beberapa hari lalu. FOTO Danial Saad.
REEZAL Merican (tengah) ketika pelancaran Aku Janji Demi Kepala Batas di Wisma Umno Kepala Batas, Bertam, beberapa hari lalu. FOTO Danial Saad.

"Maka, sebab itulah saya perlukan kemenangan yang jauh lebih meyakinkan dan nak pastikan kerajaan yang bakal terbina nanti benar-benar stabil dan boleh membawa kemakmuran kepada kita semua," katanya.

Dalam pada itu, beliau tidak menafikan pengundi muda memainkan peranan dalam penentuan keputusan pilihan raya, berdasarkan pola pengundian semasa.

"Semua kategori pengundi itu penting sebenarnya, tetapi pengundi muda kali ini akan main peranan lebih sebab majoriti daripada mereka akan mengundi buat kali pertama, terutamanya yang berusia 18 hingga 25 tahun.

"Jadi, jangkaan saya, usia (18 hingga 25 tahun) ini adalah kelompok penentu pada PRU-15 termasuk di Kepala Batas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 November 2022 @ 12:13 AM