AZRI Khairi (dua dari kiri), Mohammad Asyraf (kiri), Abdul Muhaimin (dua dari kanan) dan Basyaruddin (kanan)  bersama Mahdzir selepas menerima plak Anugerah Ikon UCAM.
AZRI Khairi (dua dari kiri), Mohammad Asyraf (kiri), Abdul Muhaimin (dua dari kanan) dan Basyaruddin (kanan) bersama Mahdzir selepas menerima plak Anugerah Ikon UCAM.
Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

Alor Gajah: Bermula sebagai hobi, alumni Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM), Azri Khairi Juaher, 31, tidak menoleh ke belakang apabila menceburi bidang penternakan ayam kampung secara komersial sejak Disember 2014 hingga kini.

Kata Azri Khairi, sejak kecil dia memasang impian mengusahakan bidang ternakan selepas melihat minat ibu dan bapanya memelihara ayam dalam skala kecil di belakang rumah di Pulau Sebang Selatan.

Menurutnya, dia menceburi bidang ternakan ayam kampung pada 17 Disember 2014 dengan modal awal RM100,000 melalui usahasama dan nasihat daripada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Pulau Sebang Mohd Hafiz Noordin ketika itu yang memberi galakan kepada belia untuk menggunakan tanah terbiar.

"Ayam yang diternak dijual dalam bentuk produk ayam sejuk beku yang diedarkan ke kedai Halal Mart @ Kedai Produk Muslim selain terus kepada pengguna di sekitar Lembah Klang, Negeri Sembilan dan Melaka. Harga ayam kampung seekor yang siap diproses dan dibungkus adalah RM25 untuk berat 1.4 kilogram (kg) bersamaan RM17 sekilogram," katanya.

Beliau ditemui selepas menerima Anugerah Ikon UCAM disampaikan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid di UCAM, baru-baru ini.

Selain Azri Khairi yang juga graduan Diploma Pengurusan Landskap turut menerima anugerah sulung itu adalah Abdul Muhaimin Hussin, 34, yang terbabit dalam tanaman buah-buahan dan penternakan haiwan; Basyaruddin Ali, 28, (bidang landskap) dan Mohammad Asyraf Normoley, 25, (penternakan ayam organik).

Pemilihan ikon UCAM adalah berdasarkan kejayaan diraih empat anak muda itu dalam bidang diceburi serta sumbangan diberikan kepada institusi pengajian itu.

Sementara itu, Mohammad Asyraf berkata, tanpa ilmu kemahiran dipelajari di kolej universiti itu mustahil untuk dia mencapai ke tahap ini hingga memiliki perniagaan sendiri iaitu WA Agro Teguh Resources.

Menyedari ilmu yang terdapat di UCAM terlalu berharga, katanya, dia yang juga alumni 2019 Diploma Sains Pertanian nekad menyambung pengajian di peringkat ijazah di tempat sama.

"Saya kini menternak kira-kira 300 ayam organik baka dari Thailand yang turut menghasilkan telur ayam organik untuk pasaran tempatan, sekali gus memberi pulangan lumayan.

"Produk ayam organik saya ada peminat tersendiri terutama pesakit kronik ataupun penggemar menjaga kesihatan sebab ayam organik tidak disuntik dengan sebarang vaksin namun pemakanan yang betul cukup memberikan zat dan membantu tumbesaran.

"Syarikat saya juga membekalkan ayam pembaka dan induk selain ayam kacuk gajah untuk dipertandingkan dari segi kecantikan.

"Alhamdulillah, dengan ilmu dipelajari di UCAM membolehkan saya melakukan inovasi makanan ayam menggunakan sisa makanan dan sayuran seperti kangkung," katanya yang berhasrat mempelbagaikan ternakan dengan memelihara lembu dan landak di Gemenceh.

Bagi Basyaruddin Ali, 28, berkata, syarikat Laboo Landskap Sdn Bhd menjadi saksi kejayaannya selepas menamatkan pengajian di UCAM pada 2012 dalam Diploma Pengurusan Perladangan.

Katanya, bermula mengusahakan nurseri secara kecil-kecilan pada 2016, kini dia sudah membuat perkhidmatan landskap dari rumah ke rumah di 480 rumah sekitar di tiga negeri.

Graduan Diploma Sains Pertanian, Abdul Muhaimin Hussin, 34, berkata, skop pelajaran di institut pengajian itu begitu meluas dengan didedahkan mengenai bidang pertanian, penternakan serta perladangan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Ogos 2022 @ 7:01 AM