ABDUL Muhaimin bersama hasil tanaman nangka yang akan dijual kepada pemborong.
ABDUL Muhaimin bersama hasil tanaman nangka yang akan dijual kepada pemborong.
Suliati Asri


PETANI bukan sekadar memegang cangkul dan membanting tulang di kebun, tetapi ia adalah bidang yang sangat luas dan perlu diteroka.

Itu definisi bidang pertanian buat Abdul Muhaimin Hussin, 34, yang juga usahawan muda agro yang berjaya.

Menyedari sektor pertanian memberi pulangan yang memberangsangkan, anak jati kelahiran Kuala Sungai Baru, Melaka ini nekad memilih menjadikan pertanian sebagai sumber pendapatan utama.

Kini, selepas hampir 10 tahun berada dalam dunia usahawan agro, Abdul Muhaimin boleh dianggap sebagai usahawan muda yang berjaya.

Mengimbau kembali awal pembabitannya dalam bidang pertanian ini, anak kedua dari tiga beradik ini berkata, dia memilih untuk melanjutkan pengajian di Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) yang dahulunya dikenali sebagai Kolej Risda, Ayer Pa'abas, Alor Gajah kerana mengikut saranan bapanya.

Awalnya dia juga mahu mengikuti pengajian dalam bidang kejuruteraan kerana tidak mengetahui lebih lanjut mengenai kursus yang akan diikuti iaitu sains pertanian.

"Jujurnya, saya tidak tahu mengenai sains pertanian ini dan menyangka hanya akan memegang cangkul.

"Rupanya kursus ini memberikan saya pelbagai ilmu yang pastinya di luar jangka. Banyak saya pelajari dan pastinya dapat diaplikasikan sehingga
hari ini walaupun sudah 13 tahun.

"Bidang ini juga sebenarnya menawarkan peluang yang sangat luas selain kini ia adalah salah satu bidang yang cukup penting," katanya.

Terbiasa membantu keluarga dalam bertani kemudian melanjutkan pengajian pastinya proses peralihan yang sukar pernah dialami Abdul Muhaimin.

"Kita sudah terbiasa memegang cangkul tiba-tiba kena belajar. Belajar pula bidang sudah sebati dalam hidup, ia sesuatu yang sukar.

"Sehingga ada satu ketika saya tidak boleh menerimanya. Namun, lama-kelamaan saya semakin minat terutama apabila subjek itu sesuatu yang baharu atau lebih ke hadapan berbanding pengalaman saya," katanya.

Ditanya keperluan menimba ilmu walaupun sudah mengetahui selok-belok sesuatu bidang itu, akui Abdul Muhaimin, ilmu itu menjadikan kita lebih ke depan daripada orang lain.

"

Memang kita tahu mencangkul, tetapi bila belajar banyak yang boleh dipelajari. Sebagai contoh membuat batas, kalau dulu kita hanya menggunakan cangkul, tapi kini kita boleh menggunakan jentera.

"Selain itu, dengan gabungan pengalaman, ilmu dan teknologi yang semakin canggih dalam bidang pertanian ini, ia membuatkan kita untuk meneroka bidang ini lebih jauh," katanya.

ABDUL Muhaimin memberi susu kepada kambing peliharaannya.
ABDUL Muhaimin memberi susu kepada kambing peliharaannya.

"Pertanian yang juga cabang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) membolehkan pelajar lebih berkemahiran dan berdaya saing," katanya.

Selepas menamatkan pengajian, Abdul Muhaimin bekerja mencari pengalaman dengan seorang usahawan tani yang mengusahakan tanaman sayur-sayuran seperti terung dan cili selama dua tahun.

Ketika itu, walaupun sudah ada asas bertani, namun banyak ilmu terutama selok-belok perniagaan berasaskan pertanian dipelajari sebaik mungkin selain menimba pengalaman menguruskan tanaman.

Abdul Muhaimin kemudian mengambil keputusan memulakan langkah pertama mengusahakan 0.8 hektar (dua ekar) tanah kebun milik keluarga berbekalkan ilmu dan pengetahuan yang diperoleh ketika belajar di UCAM.

Dia bermula dengan menanam pokok buah-buahan seperti nangka madu dan limau kasturi.

Keluasan kebun kemudian diperluas menjadi dua hektar (lima ekar) ditambah pula dengan tanaman bunga kantan dan sayur-sayuran yang mendapat begitu banyak permintaan ketika itu.

Sepanjang tempoh itu, Abdul Muhaimin mengakui, walaupun ia kelihatan berjaya, tetapi banyak cabaran yang terpaksa ditempuh antaranya tanaman diserang serangga perosak.

"Namun, saya bersyukur kerana dengan ilmu yang dipelajari menerusi kelas perosak tanaman ketika di UCAM, saya boleh mengaplikasikan semula ilmu dipelajari.

"Bukan itu saja, dengan subjek pemasaran pertanian yang dipelajari, saya mampu memasarkan hasil tanaman dituai melalui pemborong di sekitar Melaka dan pihak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama)," katanya.

Pada 2015, Abdul Muhaimin mula berjinak-jinak dalam mengembangkan lagi perniagaannya dan menceburkan diri dalam bidang ternakan ayam kampung sebanyak 200 ekor.

Kemudian, dia menternak itik nila yang kini sudah mencapai lebih daripada 500 ekor satu pusingan serta kambing biri-biri.

-PEKERJA memetik tembikai yang sudah masak.
-PEKERJA memetik tembikai yang sudah masak.

Malah, dia turut menceburkan diri dalam sektor perladangan kelapa sawit sejak tiga tahun lalu.

"Berbekalkan pengetahuan pengurusan ladang ketika belajar di UCAM dahulu, saya kini memiliki ladang kelapa sawit berkeluasan 32.3 hektar (80 ekar) di sekitar kawasan Alor Gajah dan Masjid Tanah," katanya.

Menerusi perniagaan yang semakin berkembang maju, Abdul Muhaimin kini berjaya memiliki pendapatan lima angka sebulan dan mampu menjadi 'pencipta kerjaya' dengan memberi peluang pekerjaan kepada tujuh pekerja untuk membantunya dalam memastikan kelancaran dan kelangsungan perniagaan.

Ditanya mengenai rahsia kejayaannya itu, kata Abdul Muhaimin, selain dorongan keluarga, minat dan keinginan untuk membuktikan bidang pertanian mempunyai peluang besar, ilmu yang dipelajari ketika di UCAM banyak membantunya.

ANTARA hasil tanaman yang boleh diperoleh di ladang Abdul Muhaimin.
ANTARA hasil tanaman yang boleh diperoleh di ladang Abdul Muhaimin.

"Di UCAM, kami didedahkan dengan ilmu dan pengetahuan dalam bidang pertanian yang merangkumi semua aspek iaitu teori serta amali.

"Bukan itu saja, untuk Diploma Sains Pertanian, ia turut merangkumi pelbagai subjek sains tanaman asas, tanaman makanan, pengenalan kepada ekonomi pertanian dan pengurusan tanah dan sehingga kini masih boleh diaplikasikan dalam kerja saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Ogos 2022 @ 7:00 AM