FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Lelaki ditahan polis di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Baru Air Panas di sini, semalam selepas disyaki mengugut mahu membunuh isterinya kerana wanita itu memfailkan permohonan cerai terhadapnya.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, suspek ditahan pada 9 malam selepas polis menerima laporan daripada wanita terbabit.

"Kejadian dipercayai berlaku apabila wanita itu menerima panggilan daripada suaminya yang tidak berpuas hati apabila dia memfailkan perceraian.

"Suspek mengugut untuk memastikan mangsa mati dan cacat seumur hidup. Ugutan itu menyebabkan mangsa takut dan membuat laporan polis," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamad Farouk berkata, semakan rekod lampau terhadap suspek mendapati lelaki itu mempunyai satu rekod lampau berkaitan dadah.

"Suspek dibawa ke Mahkamah Ampang hari ini bagi permohonan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Ogos 2022 @ 1:25 PM