Foto hiasan.
Foto hiasan.
Wartawan HM


Kuala Lumpur: Golongan ibu didapati menumpukan sebahagian besar masa mereka ketika 'terkurung' akibat sekatan Covid-19 dengan menghadap Internet khususnya media sosial.

Berdasarkan kaji selidik oleh Nuren Group, melalui portal keibubapaan dan e-dagang komuniti keibuan Motherhood.com.my, sepanjang pelaksanaan sekatan Covid-19 dari 2020 hingga awal 2022, 82 peratus ibu telah beralih ke media sosial pada masa lapang mereka.

"Sebanyak 38 peratus golongan ibu pula tidak lekang dengan telefon sehingga lebih enam jam sehari," menurut kaji selidik berkenaan.

Menurut kaji selidik itu, dalam beberapa jam penggunaan telefon, 59 peratus ibu mencari nasihat dan petua kesihatan diri, manakala 62 peratus lagi lebih kepada tip-tip dan info keibubapaan.

Antara platform yang sering menjadi pilihan ibu di Malaysia adalah Facebook, Instagram dan YouTube.

Berdasarkan kaji selidik terhadap 2,000 ibu di Malaysia itu, 82 peratus ibu menggunakan masa terluang mereka untuk melayari media sosial, belajar mengenai ilmu keibu bapaan (64 peratus), membeli-belah dalam talian (64 peratus) dan menonton video dalam talian (45 peratus).

Sebanyak 62 peratus responden melayari media sosial antara satu hingga lima jam sehari manakala, 38 peratus ibu melayan media sosial lebih enam jam sehari.

Ia turut mendapati 72 peratus ibu suka melihat kandungan berkaitan kehamilan dan keibu bapaan, perkara berkaitan anak-anak (70 peratus) dan tutorial masakan (68 peratus).

Bagi mendapatkan tips kesihatan, sebanyak 75 peratus responden memilih doktor dan jenama penjagaan kesihatan, laman web keibu bapaan (59 peratus), media sosial (52 peratus), dan pempengaruh (42 peratus).

Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Nuren Group, Petrina Goh berkata, pihaknya mendapati ibu-ibu lebih mementingkan kesihatan diri dan keluarga, dan anak-anak kecil di rumah.

"Kerana asyik terkepung di rumah, ibu-ibu terus bergantung kepada media sosial dan Internet untuk memperoleh pelbagai maklumat mengenai kesihatan diri sendiri dan keluarga yang tersayang, terutamanya anak-anak kecil.

"Soal selidik ini membantu ibu mendapatkan maklumat tepat yang akan membantu mereka membuat keputusan lebih bijak," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, sal selidik itu juga menunjukkan ibu di Malaysia berjaya mendapatkan sesuatu maklumat dengan lebih selamat dan membuat pilihan yang bijak melalui media sosial.

"Kami percaya bahawa ia amat menarik bagaimana pandemik telah menyebabkan peningkatan yang sangat ketara dari segi penggunaan dan kepercayaan ibu terhadap media sosial.

"Ini bermakna, mereka semakin percaya dan yakin dengan penggunaan media sosial dan mengecilkan lagi jurang antara maklumat atas talian bagi ibu-ibu di Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Ogos 2022 @ 6:33 PM