SUSPEK yang melakukan samun di stesen minyak berjaya diberkas polis kurang sejam. FOTO Tular
SUSPEK yang melakukan samun di stesen minyak berjaya diberkas polis kurang sejam. FOTO Tular
Abnor Hamizam Abd Manap

Jelebu: Tidak sehebat mana apabila seorang perompak sebuah stesen minyak di Simpang Durian di sini, berjaya diburu dan diberkas polis kurang sejam selepas melakukan jenayah.

Dalam kejadian jam 4.50 petang semalam, suspek berusia 39 tahun bertindak merompak pekerja stesen minyak berkenaan sebelum melarikan wang berjumlah RM200.

Ketua Polis Daerah Jelebu Deputi Superintendan Maslan Udin berkata, berdasarkan laporan, suspek mengacukan parang kepada mangsa yang bertugas sebagai juruwang di kaunter stesen minyak berkenaan.

Katanya, mangsa yang ketakutan menyerahkan wang tunai hasil jualan berjumlah lebih kurang RM200 sebelum suspek melarikan diri dengan memandu kereta.

"Mangsa kemudian menghubungi polis sebelum gerakan memburu suspek segera dilakukan.

"Suspek kemudian berjaya ditangkap di persimpangan Air Baning di sini, pada jam 5.50 petang semalam," katanya.

Maslan berkata, semakan mendapati suspek mempunyai tiga rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah.

Katanya, polis merampas sebilah parang dan sabit yang disyaki digunakan penjenayah selain turut menemui semula wang dilarikan.

"Suspek kini direman sehingga 21 Ogos bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Bahaya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Ogos 2022 @ 4:48 PM