Dzulkafli menyampaikan sijil penghargaan kepada anggota pada Perbarisan Ulangtahun Ke-56, 1 Divisyen Infantri di Kem Penrissen, hari ini. FOTO IHSAN MARKAS 1 DIVISYEN INFANTRI
Dzulkafli menyampaikan sijil penghargaan kepada anggota pada Perbarisan Ulangtahun Ke-56, 1 Divisyen Infantri di Kem Penrissen, hari ini. FOTO IHSAN MARKAS 1 DIVISYEN INFANTRI
Mohd Roji Kawi


Kuching: Tentera Darat Malaysia (TDM) akan membina pos kawalan di Lawas bagi mengawal kemasukan pendatang asing tanpa izin (Pati) selain mengekang kegiatan penyeludupan di sempadan antara Sarawak dan Sabah.

Panglima 1 Divisyen Infantri, Mejar Jeneral Datuk Dzulkafli Mustaffa berkata, kerajaan Sarawak sudah menyediakan tapak seluas 1.3 hektar bagi membina pos kawalan itu.

Menurutnya, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg dan Timbalannya, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan menyokong penuh langkah untuk mewujudkan pos berkenaan dan pembinaan akan bermula sebaik peruntukan diterima.

"Pos kawalan itu dirancang dibina selepas kerajaan Sarawak meminta kita mengetatkan kawalan di Lawas, di mana tidak menghadapi masalah untuk membinanya kerana TDM memiliki sumber tenaga kerja," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Perbarisan Ulang tahun Ke-56, 1 Divisyen Infantri di Padang Kawad Rejimen 4 Armor Diraja di Kem Penrissen, di sini, hari ini.

Turut hadir, Panglima 3 Briged Infantri, Brigidaer Jeneral Mohd Kamil Abdul Latiff; Panglima 9 Briged Infantri, Brigidaer Jeneral Shauri Mat Piah dan Panglima 31 Briged Infantri, Brigidaer Jeneral Abdul Jalal Zaidi Abdul Majid.

Perbarisan itu membabitkan seramai 27 pegawai dan 463 anggota diketuai oleh Pegawai Memerintah Rejimen Ke-8 Artileri Diraja (8 RAD), Leftenan Kolonel Jamaludin Ahmad Tajudin.

Dzulkafli berkata, sementara pos kekal dibina, pihaknya sudah melaksanakan gerakan di kawasan Lawas menerusi Ops Bambu.

"Antara kejayaan Ops Bambu apabila berjaya menahan dua kontena dari Sabah yang cuba menyeludup masuk rokok bernilai RM4.7 juta, baru-baru ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Julai 2022 @ 3:07 PM