Tingkat atas sebuah bangunan yang mempunyai mesin bitcoin di Taman Angsana, Sungai Petani musnah dalam kebakaran.FOTO IHSAN BOMBA
Tingkat atas sebuah bangunan yang mempunyai mesin bitcoin di Taman Angsana, Sungai Petani musnah dalam kebakaran.FOTO IHSAN BOMBA
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Tingkat atas sebuah kedai tiga tingkat di Taman Angsana, Sungai Petani dekat sini yang dipercayai menjalankan operasi melombong bitcoin musnah dalam kebakaran, pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Kedah menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada jam 8.38 pagi.

Katanya, 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Syamsul Moon tiba di lokasi tidak lama kemudian serta turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Sungai Petani.

"Setibanya anggota bomba di lokasi mendapati kebakaran membabitkan bangunan kedai tiga tingkat kelas A dan pemeriksaan mendapati ada pelayan komputer yang dipercayai digunakan untuk aktiviti melombong Bitcoin musnah.

"Kebakaran berlaku di tingkat tiga dengan anggaran peratusan kebakaran sebanyak 70 peratus," katanya di sini hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, bagaimana pun tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kebakaran itu.

"Setakat ini punca dan kerugian masih dalam siasatan. Operasi turut disertai polis dan Tenaga Nasional Berhad (TNB)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Ogos 2022 @ 12:16 PM