KILANG barangan kitar semula yang musnah dalam kebakaran. FOTO ihsan Bomba
KILANG barangan kitar semula yang musnah dalam kebakaran. FOTO ihsan Bomba
Zuliaty Zulkiffli

Sungai Petani: Sebahagian kilang barangan kitar semula di Jalan PKNK Fasa 3, Taman Industri, di sini musnah dalam kebakaran, hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan, 1.18 pagi tadi.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani tiba di lokasi pada 1.26 pagi.

"Operasi turut dibantu BBP Tikam Batu, Aman Jaya dan Yan dengan lima jentera serta sebuah jentera tangki air.

"Seramai 37 anggota dan pegawai terbabit dalam operasi ini yang diketuai Penguasa Kanan Bomba (PBK) II Marzukhi Shafie dalam operasi ini serta dibantu 20 anggota dari Pasukan Bomba Bantuan (PBS) Sungai Petani," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, setibanya di lokasi didapati api sedang marak membakar kilang berkenaan dan tindakan pemadaman dilakukan dengan menggerakkan anggota yang dibahagikan kepada tiga bahagian.

Mohamadul Ehsan berkata, usaha pemadaman mengalami kesukaran disebabkan masalah tekanan air rendah di lokasi.

Beliau berkata, namun operasi pemadaman dilakukan sehingga 5.20 pagi dan pihak PGO kemudian meminta bantuan jentera tangki air dari JBPM Pulau Pinang kerana kesukaran mendapatkan bekalan air.

"Pihak kami mendapat bantuan dari Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP) dari segi logistik melalui BBP Sungai Petani dan Pusat Kawalan Bomba (PKB).

"Pada 8.37 pagi tadi, PKB melaporkan api berjaya dikawal 50 peratus," katanya.

Beliau berkata, operasi pemadaman peringkat akhir sedang dilakukan untuk memastikan tiada lagi api di kawasan kebakaran.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 November 2020 @ 11:22 AM