ABDUL Baser memantau dan meninjau tanaman kantan.
ABDUL Baser memantau dan meninjau tanaman kantan.
Rosman Shamsudin


BERMULA hanya dengan dua rumpun pokok kantan, kini tanaman diusahakan seorang pensyarah berkembang sehingga 100 rumpun di tepi jalan di Kampung Balun, Slim River, Perak.

Pensyarah Kolej Vokasional Slim River, Abdul Baser Tajuri, 53, mula mengusahakan tanaman itu sejak 2016.

Katanya, idea untuk menanam pokok kantan timbul berdasarkan pengalamannya terpaksa membayar harga yang mahal bagi sebatang bunga kantan ketika musim perayaan.

"Sejak itu, timbul rasa minat untuk menanam sendiri pokok kantan dan pada mulanya saya hanya menanam dua rumpun pokok.

"Lama-kelamaan didapati rumpun atau pokok kantan semakin membiak dan membesar menyebabkan saya mengambil pokok atau dikenali sebagai rizom lalu ditanam semula ke tempat lain.

"Saya memanfaatkan tanah sepanjang 200 meter di tepi jalan untuk menambah pokok kantan menggunakan rizom pokok terdahulu," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

ABDUL Baser mencantas pokok kantan yang tidak efektif.
ABDUL Baser mencantas pokok kantan yang tidak efektif.

Abdul Baser berkata, penanaman pokok kantan tidak sukar kerana ia hidup lebih subur jika ditanam di kawasan tanah pamah dan mempunyai sistem pengairan yang baik.

Katanya, rizom yang dikorek pada rumpun pokok kantan perlu ditanam dengan segera supaya tumbesaran pokok itu tidak terbantut atau mati apabila ditanam semula.

"Kawasan yang baharu ditanam dengan rizom pokok berkenaan perlu dinaikkan batas selain dikelilingi tanah bagi menggalakkan tumbesaran.

"Rizom pokok yang baharu ditanam juga perlu disiram setiap hari," katanya.

Menurutnya, bagi memastikan pokok kantan mampu menghasilkan bunga yang lebat, dia perlu memangkas batang pokok yang tidak efektif setiap dua minggu.

ABDUL Baser menunjukkan hasil tanaman kantan.
ABDUL Baser menunjukkan hasil tanaman kantan.

Di samping itu, pembajaannya perlu dilakukan setiap tiga bulan sekali dengan baja organik untuk memastikan tumbesaran pokok berkenaan.

Katanya, pokok yang hidup subur dalam rumpun berkenaan perlu dibiarkan membesar dengan jarak yang sesuai bagi membolehkan bunga kantan tumbuh pada rumpun itu.

"Sekiranya pokok pada rumpun dibiarkan terlalu rapat, bunga kantan sukar untuk tumbuh melalui celahan pokok kantan.

"Biasanya dua kali seminggu saya akan memetik atau memotong bunga kantan pada rumpunnya sambil mencantas pokok yang kurang efektif.

KEBERSIHAN kawasan tanaman perlu dijaga.
KEBERSIHAN kawasan tanaman perlu dijaga.

"Biasanya pokok kantan yang matang boleh mencapai ketinggian antara dua hingga tiga meter, tetapi semua ini bergantung kepada cara penjagaan tanaman itu," katanya.

Dia berkata, tanaman yang diusahakan secara sambilan ini hanya untuk mengisi masa lapang.

Di samping itu, aktiviti ini menjadi terapi kepada diri selepas seharian bersama pelajar di kolej.

"Hanya mereka yang menceburi bidang ini yang mengetahuinya kerana apabila melihat pokok kantan yang hidup subur dan memberikan hasil sekali gus memberi ketenangan.

"Sebab itu, saya tidak kisah apabila menjual bunga kantan dengan harga yang murah kerana di samping menjual apa salahnya kita bersedekah," katanya

.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Ogos 2021 @ 6:15 AM