GAMBAR terbaharu Ainul. FOTO Ihsan FB Ahmad Safiuddin
GAMBAR terbaharu Ainul. FOTO Ihsan FB Ahmad Safiuddin
Khairul Najib Asarulah Khan


“ASSALAMUALAIKUM semua, setiap hari berat badan Ainul naik. Doktor cakap kalau setiap hari menunjukkan perkembangan yang positif, Ainul boleh balik,” kata bapa Ainul Mardhiah, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24, menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Perkongsian itu mendapat lebih 5,000 tanda suka dalam tempoh 20 minit sebaik sahaja ia dikongsikan Ahmad Safiuddin.

Dalam perkembangan sama, Nurul Erwani Zaidi, 24, iaitu ibu Ainul Mardhiah turut berkongsi mengenai anaknya itu menerusi laman Instagram miliknya.

Katanya, Ainul semakin sihat, berat badannya semakin bertambah setiap hari.

Nurul Erwani turut memuat naik status Insta Story, ‘ready to pack’ barang.

“Pejam celik sebulan lebih juga berada di luar negara. Satu pengalaman yang tidak mungkin akan dilupakan.

“Seronok dapat belajar sesuatu yang baru, kenal orang baru dan tengok pemandangan yang cantik di sini.

“Insya-Allah, tunggu Ainul dah besar nanti kami pula akan bawa dia ke sini,” katanya.

Pada 10 Jun lalu, Ainul Mardhiah yang menghidap 'Germ Cell tumor' selamat menjalani pembedahan membuang ketumbuhan tumor seberat 200 gram selepas bertarung nyawa selama lima jam.

Pembedahan itu dijalankan sepasukan pakar diketuai Prof David Dunaway di sebuah hospital di London.

Tahap kesihatannya dilihat semakin positif apabila Ainul Mardhiah dipindahkan ke wad biasa selepas empat hari menjalani pembedahan iaitu pada 14 Jun lalu dan kini tidak lagi memerlukan bantuan oksigen.

Kisah Ainul Mardhiah bukan saja mendapat perhatian rakyat Malaysia, malah Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad turut menziarahinya ketika beliau berada di United Kingdom untuk lawatan rasmi tiga hari, baru-baru ini.

  • Lagi berita berkaitan Ainul Mardhiah
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2019 @ 9:54 PM