Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas 1,450 kilogram (kg) daun ketum bernilai RM14,500 yang dibawa menggunakan sebuah lori di persimpangan lampu isyarat Bandar Ketereh, Kota Bharu, kelmarin.

Pengarah JKDM Kelantan, Mohd Nasir Deraman, berkata dalam kejadian jam 4 pagi itu, anggota bertugas membuat pemantauan hasil daripada maklumat yang diterima sebelum terserempak dengan lori terbabit yang dipandu suspek lelaki warga tempatan berusia 22 tahun.

Katanya, lori berkenaan ditahan dan pemeriksaan keseluruhan dilakukan di bahagian belakang kenderaan sebelum menemukan 145 bungkusan plastik hitam disyaki mengandungi daun ketum.

"Hasil siasatan awal mendapati daun ketum terbabit dibawa daripada Kedah untuk dihantar ke negeri ini bagi memenuhi permintaan pelanggan seluruh Kelantan.

"Mereka didapati menggunakan modus operandi dengan membawa masuk muatan daun ketum pada awal pagi selain turut bertukar pemandu seramai dua hingga tiga orang di lokasi tertentu bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

"Pemandu ditahan, manakala lori dan kesemua daun ketum dirampas untuk disiasat dibawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," katanya dalam sidang media di Pejabat Penguatkuasaan JKDM Rantau Panjang, di sini, hari ini.

Menurutnya, suspek yang berasal dari Tumpat ditahan reman selama empat hari bermula 9 hingga 12 Ogos untuk membantu siasatan, selain disyaki sebagai salah seorang sindiket yang giat menjalankan aktiviti pengedaran daun ketum.

MOHD Nasir bersama pegawainya menunjukkan rampasan 1,450 kilogram (kg) daun ketum bernilai RM14,500 dalam sidang media di Pejabat Penguatkuasaan JKDM Rantau Panjang, di sini, hari ini. FOTONIK ABDULLAH NIK OMAR.
MOHD Nasir bersama pegawainya menunjukkan rampasan 1,450 kilogram (kg) daun ketum bernilai RM14,500 dalam sidang media di Pejabat Penguatkuasaan JKDM Rantau Panjang, di sini, hari ini. FOTONIK ABDULLAH NIK OMAR.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Ogos 2022 @ 7:00 PM