DAUN ketum dan tiga buah kenderaan yang dirampas oleh anggota PGA9 dalam serbuan di sebuah rumah di Desa Wirajaya Gual Periok, di sini, jam 5.50 pagi tadi. FOTO ihsan PGA9
DAUN ketum dan tiga buah kenderaan yang dirampas oleh anggota PGA9 dalam serbuan di sebuah rumah di Desa Wirajaya Gual Periok, di sini, jam 5.50 pagi tadi. FOTO ihsan PGA9
Syaherah Mustafa


LELAKI Thailand yang dikenali sebagai Pok Su dipercayai ketua sindiket pengedaran daun ketum ditahan anggota Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA9) di sebuah rumah di Desa Wirajaya Gual Periok, Rantau Panjang hari ini.

Daun ketum seberat 600 kilogram (kg) turut dirampas dalam serbuan hasil risikan pada 5.50 pagi itu.

Lelaki berkenaan dikatakan aktif mengedar daun ketum di sekitar Pasir Mas.

Pegawai Pemerintah PGA9 Superintendan Nor Azizan Yusof berkata, risikan pihaknya berjaya mengesan lokasi lelaki berkenaan sebelum ke rumah berkenaan untuk serbuan.

Menurutnya, anggota bertindak mengetuk kediaman berkenaan dan pintu dibuka oleh seorang lelaki sebelum mendapati ada tiga lagi individu di ruang tamu kediaman terbabit.

"Selepas memperkenalkan diri sebagai pihak berkuasa, anggota bertugas kemudiannya meminta mereka mengemukakan dokumen pengenalan diri tetapi hanya Paksu yang gagal memberinya dan mengaku berasal dari Thailand.

"Anggota membuat pemeriksaan terhadap atas tubuh badan mereka, namun tiada sebarang barang menyalahi undang-undang ditemui.

"Seterusnya, pemeriksaan dilakukan di dalam rumah dan menemui 12 bungkus plastik hitam dipercayai mengandungi daun ketum.

"Selain itu, hasil pemeriksaan dalam tiga kenderaan yang parkir di halaman rumah turut menemukan 30 bungkusan plastik hitam dalam kenderaan Toyota Alphard, manakala lapan bungkusan lagi dalam kereta Hyundai Sonata," katanya

Nor Azizan berkata, melalui pemeriksaan pada kereta ketiga iaitu kenderaan pelbagai guna (MPV) Cherry turut menemui 10 lagi bungkusan yang mana kesemua bungkusan terbabit juga dipercayai diisi daun ketum.

"Siasatan awal mendapati Pak Su adalah 'kepala' yang menjual daun ketua di daerah ini selain turut menghantar barang terlarang terbabit ke negara jiran.

"Pak Su menggunakan modus operandi dengan cara menetapkan beberapa tempat berasingan untuk meletakkan kesemua daun ketum yang baru tiba bagi mengaburi pihak berkuasa.

"Tiga lelaki warga tempatan dan Pak Su kemudiannya ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan dan siasatan lanjut," katanya.

Menurutnya, kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1957, Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 6(1)(c)1959/63.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Ogos 2020 @ 9:16 PM