Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Kerajaan sudah bersetuju untuk menubuhkan Perbadanan Pembangunan Kereta Api Malaysia (MRDC) bagi meningkatkan keupayaan dan kepakaran industri rel peringkat global.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, MRDC akan menjadi sebuah pusat penyelaras pembangunan induatri rel yang bersepadu dan terancang.

Beliau berkata, bakat tempatan akan dibangunkan secara profesional, mahir dan separa mahir dalam industri rel seiring dengan keperluan semasa.

"Secara prinsip Jemaah Menteri sudah meluluskan MRDC yang turut berperanan sebagai platform menambah baik pelan industri rel secara holistik.

"Dasar perolehan akan diberi keutamaan kepada industri rel tempatan yang berkelayakan dan berkualiti termasuk membangunkan projek rel di rantau Asia," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Ekspo Teknologi Rel (RTX) di KL Sentral, di sini, hari ini.

WEE Ka Siong melakukan gimik pelancaran Ekspo Teknologi Rel (RTX) di KL Sentral. FOTO Owee Ah Chun
WEE Ka Siong melakukan gimik pelancaran Ekspo Teknologi Rel (RTX) di KL Sentral. FOTO Owee Ah Chun

Ekspo selama empat hari bermula hari ini itu menjadi medium terbaik untuk pemain industri rel tempatan memperkenalkan produk dan kepakaran.

Selain itu, ia turut memberi kesedaran mengenai pembangunan dan teknologi rel terkini, mempromosi keupayaan dan kapasiti industri.

Dalam perkembangan berasingan, Ka Siong berkata, sesi libat urus bersama Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar) pagi tadi berjaya memberi gambaran jelas mengenai pelaksanaan kaedah pendaftaran yang akan diperkenalkan kerajaan terhadap p-hailing.

Menurutnya, salah tanggapan yang berlaku kini dianggap selesai kerana tiada sebarang lesen baharu diperkenalkan kepada p-hailing sebaliknya hanya sistem khas pendaftaran yang akan dilaksanakan.

"Sistem ini membantu kerajaan untuk memberikan bantuan sewajarnya kepada pemain industri p-hailing selain menjaga kebajikan serta keadilan buat mereka.

"Kementerian Pengangkutan juga akan memberikan moratorium untuk pendaftaran awal sebaik pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 diluluskan kelak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Ogos 2022 @ 4:33 PM