Lokasi dipercayai Pejabat Hadi Minallah di Danau Kota. FOTO FATHIL ASRI
Lokasi dipercayai Pejabat Hadi Minallah di Danau Kota. FOTO FATHIL ASRI
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Lokasi dipercayai menjadi markas pengikut Yayasan Nur Mutiara Makrifatullah atau ajaran Hadi Minallah di sebuah kondominium di Taman Danau Kota, Setapak di sini, didapati hanyalah premis kosong.

Tinjauan Harian Metro tadi mendapati, alamat tertera pada poster promosi perkhidmatan konsultan itu adalah premis tidak berpenghuni.

Wartawan turut dimaklumkan Badan Pengurusan Bersama (JMB) kondominium itu bahawa alamat berkenaan adalah tidak lengkap.

Bagaimanapun, badan pengurusan itu memaklumkan terdapat pihak berkuasa datang ke kondominium itu kelmarin bagi mendapatkan maklumat sama berhubung ajaran sesat berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, pihaknya bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi berkaitan bagi melaksanakan siasatan dan tindakan susulan terhadap kegiatan kumpulan Hadi Minallah.

"Sebarang usaha menyebarkan ajaran yang bercanggah dengan akidah Islam haruslah dibanteras habis-habisan.

"Umat Islam disarankan sentiasa merujuk kepada pihak berkuasa agama bagi mengenal pasti dan menangkis anasir-anasir mengelirukan dari segi akidah, syariah, dan pemikiran yang memesongkan akidah serta menjauhkan diri dari sebarang kegiatan yang menyeleweng dari ajaran Islam yang sebenar," katanya.

Menurutnya, tindakan diambil mengikut peruntukan undang-undang Akta 559 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.

Ajaran Hadi Minallah aktif menyebarkan dakyah sesat mereka melalui YouTube, Persatuan Nur Mutiara Mutmainnah.

Berdasarkan video tular itu, seorang lelaki yang mendakwa sebagai pengasas ajaran itu, Wayang Hadi Kesumo atau Hadi Minnallah Aminnullah Ahmad berasal dari Indonesia.

Jumaat lalu, media melaporkan, kerajaan memantau pergerakan kumpulan ajaran sesat dari negara jiran, Hadi Minnallah yang kini dikesan aktif di beberapa negeri di Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad dilapor berkata, fahaman berkenaan nyata dan jelas menyimpang daripada ajaran sebenar Islam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Ogos 2022 @ 2:30 PM