Mohd Fared Mohd Khalid
Mohd Fared Mohd Khalid
Oleh Mohamed Farid Noh


Iskandar Puteri: Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) mengesan cubaan menyebarkan ajaran sesat Hadi Minallah ke negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata JAINJ mengesan terdapat cubaan anggota ajaran sesat berkenaan untuk menyebarkan fahaman menyeleweng itu di Kota Tinggi.

Namun katanya, JAINJ sedang mengambil langkah menyeluruh bagi mengekang cubaan anggota ajaran sesat itu daripada mempengaruhi masyarakat negeri ini.

"Kita dapat maklumat ajaran ini cuba dibawa masuk ke Johor dan dikesan di Kota Tinggi. Kita tahu pergerakan mereka dan mahu beri amaran supaya segera berhenti sebelum tangkapan dilakukan.

"Kita meneliti dan memerhati perkembangan terbaharu ini. Menerusi siasatan bukan orang Johor yang cuba sebarkan ajaran sesat ini namun kita sedang menyiasat dan mencegah perkara ini dari terus berleluasa.

"Ajaran ini dibawa dari negara jiran dan pengasas juga bukan beragama Islam jadi mengapa kita nak percaya pada ajaran yang dibawanya dan nak bercerita tentang agama kita pula," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Agihan Manfaat Wakaf Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), di sini, hari ini.

Pada 8 Ogos lalu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dilaporkan mengenal pasti lokasi pusat operasi kumpulan ajaran sesat Hadi Minallah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad berkata, kumpulan ajaran Hadi Minallah yang berasal dari negara jiran dikesan berlaku di beberapa negeri di Malaysia dan aktif menyebarkan dakyah sesat mereka melalui YouTube, Persatuan Nur Mutiara Mutmainnah.

Berdasarkan video tular itu, seorang lelaki mendakwa sebagai pengasas ajaran itu, Wayang Hadi Kesumo atau Hadi Minallah Aminnullah Ahmad berasal dari Indonesia.

Dia mengaku tiada agama dan menyebarkan fahaman makrifat sesat, Nur Muhammad serta pluralisme agama yang dakwanya Tuhan tidak melihat kepada agama selain turut menolak hadis.

Di tanya sama ada anggota ajaran sesat itu cuba menjadikan Johor sebagai markas penyebaran ajaran sesat Hadi Minallah di negara ini, Mohd Fared berkata, ajaran sesat itu dipercayai cuba menyebarkan fahaman menyeleweng itu di semua lokasi termasuk negeri ini.

"Mereka belum sampai peringkat tubuhkan markas di Johor tapi kita tahu mereka baru masuk dan merisik untuk cari pengaruh bagi menyebarkan ajaran sesat itu.

"Diingatkan bahawa mengikut Sesyen 5 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor adalah menjadi kesalahan untuk menyebarkan doktrin agama selain Islam.

"Berwaspada dan jangan dekati sebarang ajaran yang menyeleweng daripada Islam. Bukan sahaja kita boleh didakwa di bawah enakmen itu malah boleh didakwa menerusi Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Ogos 2022 @ 3:10 PM