RASHID (dua dari kiri) bersama Naib Canselor Universiti DRB-HICOM, Prof Datuk Sr Dr Omar Osman (dua dari kanan).
RASHID (dua dari kiri) bersama Naib Canselor Universiti DRB-HICOM, Prof Datuk Sr Dr Omar Osman (dua dari kanan).

GRAB Malaysia dan DRB-HICOM University of Automotive Malaysia (Universiti DRB-HICOM) mengumumkan kerjasama untuk menyokong pembangunan akademik pemandu dan rakan kongsi penghantaran Grab di seluruh negara melalui program pengajian tinggi kursus untuk meningkatkan kemahiran berkaitan.

Kerjasama itu juga menyaksikan pengenalan kurikulum pengajian tinggi pertama dan satu-satunya di Malaysia direka eksklusif untuk pekerja platform melalui Program Pembangunan Grab (GDP).

Pengarah Operasi Negara untuk Grab Malaysia, Rashid Shukor berkata, sebagai platform tempatan, pihaknya amat berbangga dapat menyediakan rakyat Malaysia akses kepada peluang pendapatan yang mampan dan holistik untuk meningkatkan lagi taraf hidup mereka.

"Kami percaya bahawa dapat bekerja dan belajar secara fleksibel adalah bahagian penting dalam membuka peluang ekonomi.

"Kami berbangga dapat bekerjasama dengan Universiti DRB-HICOM untuk memperkenalkan program akademik fleksibel dan kurikulum untuk kursus berkaitan dan juga menyediakan laluan jelas dalam mendapatkan akreditasi pendidikan tinggi yang boleh mereka manfaatkan untuk mana-mana peluang kerjaya yang berpotensi," katanya.

Kerjasama ini menyediakan pemandu dan rakan kongsi penghantaran Grab di seluruh negara dengan akses kepada pelbagai kursus peningkatan kemahiran pada kadar berpatutan dan bersubsidi melalui GrabBenefits.

Kursus-kursus ini adalah di bawah kurikulum perniagaan dan program akademik kejuruteraan untuk pemandu Grab dan rakan kongsi penghantaran.

Bagi GDP, ia adalah kursus pendek dibangunkan bersama melalui perundingan dengan Grab, khusus untuk pemandu dan rakan penghantar Grab.

Setiap modul GDP mengambil masa antara dua hingga lima hari untuk disiapkan, dan akan dihantar dalam mod hibrid untuk memastikan fleksibiliti.

Kursus yang tersedia termasuk kursus Pengurusan Kewangan, Pengurusan Perniagaan, Automotif dan Teknikal.

Selain itu, mereka juga berpeluang mengikuti Program Akademik Universiti DRB-HICOM selama 14 minggu melalui kursus Pengurusan Kewangan dan Automotif.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mei 2022 @ 7:20 AM