Redzuan Muharam

Shah Alam: "Jangan hanya minta kerajaan menurunkan harga barang, tetapi kita sebagai pengguna juga perlu kawal diri dan nafsu membeli," kata ibu lima anak, Nordiah Awang.

Nordiah, 62, yang menetap di Seksyen 23, di sini, memberi reaksi ketika mengulas mengenai langkah penjimatannya susulan isu kenaikan harga barang dan inflasi.

Menurut Nordiah, sebagai pengguna, dia mengakui terkesan dengan kenaikan harga barang, tetapi cuba cari jalan untuk mengawal dan mengurus perbelanjaan dengan sebaiknya.

"Kalau dulu makan ayam, kini mungkin kena kurangkan. Jika dulu makan ikan tenggiri, sekarang boleh cari alternatif makan ikan lain. Sama juga seperti cili, guna ikut keperluan kerana setiap biji cili itu berharga.

"Penjimatan seharusnya bermula daripada diri kita sendiri, contohnya dengan kurangkan pembelian perabot misalnya atau bercuti saja dalam negara," katanya ketika ditemui di Pasar Tani Stadium Shah Alam, di sini, hari ini.

Juruteknik, Mohammed Firdaus Zakaria, 40, berkata langkah penjimatannya adalah mendahulukan keperluan berbanding kehendak sekali gus dia dapat menyimpan wang untuk kegunaan penting.

"Jujurnya sangat terkesan dengan kenaikan harga barang kini terutama barangan basah, namun bukan sampai tidak dapat makan langsung.

Orang ramai berkunjung ke Pasar Tani di perkarangan Stadium Shah Alam bagi membeli barangan keperluan berikutan harga jualan lebih murah berbanding pasar utama. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Orang ramai berkunjung ke Pasar Tani di perkarangan Stadium Shah Alam bagi membeli barangan keperluan berikutan harga jualan lebih murah berbanding pasar utama. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM

"Cuma, saya sebagai ketua keluarga perlu mendahulukan pendapatan bulanan dengan membeli makanan dan keperluan anak-anak.

"Salah satu caranya adalah dengan kurangkan pembelian seperti pakaian dan tangguhkan dahulu kehendak membeli barangan bukan keperluan," katanya.

Pengguna, Mazliza Mali, 33, yang baru berumah tangga pada 16 Julai lalu memilih untuk memasak dan makan di rumah sebagai langkah untuk berjimat cermat.

"Kebanyakan orang kini memang terkesan dengan kenaikan harga barang, sama juga seperti saya yang baru berkahwin dan tinggal menyewa.

"Adalah lebih baik jika kita cuba mengurangkan makan di luar dan beli barang keperluan serta masak di rumah. Saya sendiri masak setiap hari walaupun hidangan yang ringkas.

"Memandangkan harga kenaikan harga barang basah agak ketara, saya dan suami cuma kawal perbelanjaan dengan berbelanja sekali saja dalam dua minggu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Julai 2022 @ 12:06 PM