FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
BERNAMA

Kuantan: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pahang mencadangkan kerajaan negeri mengecualikan cukai atau sewaan tanah kepada pekebun dan petani dalam tempoh dua hingga tiga tahun bagi mengurangkan kos pengeluaran makanan.

Chiong Yoke Kong (PH-Tanah Rata) berkata punca kenaikan harga barangan membabitkan banyak aspek meliputi rantaian penghasilan, pemprosesan, penghantaran dan pembekalan, dan ini sekali gus menghakis kuasa beli pengguna terutama mereka berpendapatan rendah.

"Orang ramai sudah terbeban dan terkesan dengan kenaikan harga bahan mentah dan sayur-sayuran, dan kita menjangkakan harga barang keperluan terus meningkat pada bulan-bulan akan datang.

"Kita perlu lakukan inisiatif untuk membantu...sebab Pahang salah satu negeri yang mengeluarkan banyak makanan dan kita ada banyak petani dan pekebun, itu sebabnya saya menyeru kerajaan memberi pengecualian cukai atau sewaan tanah bagi mereka untuk mengurangkan kos pengeluaran," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan (2022) 2021 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Negeri di sini hari ini.

Dalam pada itu, Chiong turut mencadangkan peruntukkan khusus diberikan kepada agensi berkaitan dalam usaha mengiatkan lagi pemantauan di kawasan cerun.

Sementara itu, Lee Chin Chen (PH-Bilut) yang turut menyentuh mengenai kenaikan harga barang, menyarankan pemeriksaan mengejut harus dijalankan oleh pihak berkuasa ke pasar awam dari semasa ke semasa dalam bagi mengesan peniaga yang mengaut keuntungan melampau.

Katanya isu keselamatan makanan dan mengurangkan import juga juga harus diberi perhatian oleh kerajaan, dengan sekurang-kurangnya bekalan makanan mencapai tahap sara diri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Disember 2021 @ 5:30 PM