Noorazura Abdul Rahman


Baling: Penduduk di daerah ini buntu memikirkan nasib mereka yang masih tidak dapat keluar menoreh getah berikutan tiga jambatan menghubungkan kawasan penduduk dengan kebun mereka sudah dihanyutkan arus deras kepala air.

Penduduk Kampung Iboi, Mohd Noor Dolah,66, berkata, dia tidak mempunyai sebarang pendapatan selepas kejadian banjir dan kepala air yang melanda kawasan itu pada 4 Julai lalu.

"Sekarang ini saya dan keluarga perlu berjimat cermat dan mengurangkan perbelanjaan yang dirasakan tidak perlu, cuma sekarang kami tidak terlalu bimbang untuk makan kerana ada bantuan makanan saya peroleh.

"Rumah saya tidak dinaiki air, namun akibat kejadian itu pendapatan terjejas, kami dapat bantuan makanan, cuma kami bimbang sekiranya jambatan itu lambat dibaik pulih, saya tidak dapat keluar menoreh lagi," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Abdullah menunjukkan kerja-kerja mendalam sungai Lata Celak, Kampung Iboi berhampiran rumahnya yang rosak teruk. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Abdullah menunjukkan kerja-kerja mendalam sungai Lata Celak, Kampung Iboi berhampiran rumahnya yang rosak teruk. FOTO Noorazura Abdul Rahman

Seorang lagi penduduk, Abdullah Ahmad, 65, berkata dia sangat berharap tiga jambatan untuk pertanian di kampung itu dapat dibaik pulih segera bagi memudahkan mereka membawa hasil getah dan buah-buahan keluar dari kebun masing-masing.

Katanya, mereka kini hanya boleh memasuki kebun dengan berjalan kaki yang mengambil masa lebih lama.

"Kami boleh masuk ke kebun dengan berjalan kaki namun perjalanannya lebih jauh dan makan masa sejam, cuma kami tidak boleh bawa keluar hasil getah atau buah-buahan kerana ia perlu dibawa dengan kenderaan.

"Dengan keadaan cuaca tidak menentu, saya sendiri tidak pasti bila kami boleh keluar menoreh semula, kami pun bimbang dengan keselamatan kami yang mungkin terpaksa menanggung bencana ini tanpa kesudahan," katanya yang masih tinggal di Dewan Umno kampung berkenaan selepas rumah pusaka yang didiami rosak teruk akibat kejadian itu.

Abdullah berkata, dia merancang untuk membaik pulih rumahnya baru-baru ini namun terpaksa menangguhkan kerja terbabit selepas rumahnya sekali lagi dimasuki air kelmarin.

"Sekarang saya meneruskan kelangsungan hidup dengan bantuan orang ramai, saya bersyukur kerana banyak pihak yang datang membantu.

"Cuma kami bimbang keadaan ini akan berterusan kerana banyak kerosakan yang berlaku di Gunung Inas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Julai 2022 @ 3:57 PM