Noorazura Abdul Rahman

Baling: Hujan berterusan lebih 24 jam sejak kelmarin menyebabkan penduduk berdekatan sungai di Kampung Iboi trauma kerana bimbang bencana banjir dan kepala air, berulang.

Che Liah Ramli, 63, berkata, dia masih lagi teringat detik cemas dihanyutkan kepala air sehingga tersangkut dan terpaksa berpaut pada pokok pisang pada ketinggian lebih satu meter (m) sebelum diselamatkan penduduk kampung.

"Saya tidak pernah tidur lena sejak hari kejadian, apabila malam saya sering jenguk (paras) air sungai menerusi tingkap rumah orang tua saya," katanya ketika ditemui di Kampung Masjid Iboi, di sini.

Dalam kejadian 4 Julai lalu, Che Liah atau lebih dikenali dengan panggilan Maksu pada mulanya menyelamatkan diri menaiki tangga rumahnya selepas paras air di dalam rumah naik hampir satu meter.

Maksu berkata, dia kemudian diselamatkan oleh anak saudaranya sebelum dia membonceng motosikal namun dihanyutkan arus deras ketika dalam perjalanan ke tempat selamat.

"Sekarang saya dan suami menumpang tidur di rumah orang tua saya selepas sebahagian dinding rumah pusaka suami saya pecah dan perlu dibaik pulih," katanya.

ABDULLAH dan isterinya Che Liah berada di hadapan rumah mereka yang rosak teruk di Kampung Masjid Iboi akibat banjir dan kepala air 4 Julai lalu. FOTO Noorazura Abdul Rahman
ABDULLAH dan isterinya Che Liah berada di hadapan rumah mereka yang rosak teruk di Kampung Masjid Iboi akibat banjir dan kepala air 4 Julai lalu. FOTO Noorazura Abdul Rahman

Dalam kejadian 4.30 petang 4 Julai lalu, lebih 800 buah rumah penduduk terutama di Kampung Iboi serta sekitar kawasan Kupang, terjejas.

Sebanyak 16 kediaman lenyap dengan 18 lagi rosak teruk akibat terkena kayu balak hanyut yang dibawa kepala air dari arah Gunung Inas.

Suami Che Liah, Abdullah Ahmad, 65, berkata, dia bimbang kejadian kepala air berulang dan berlaku di waktu malam sekali gus boleh menyebabkan lebih banyak nyawa yang akan terkorban.

"Cukuplah apa yang kami hadapi, rumah pusaka orang tua saya lebih 100 tahun hampir musnah, sudah 10 hari berlalu, lumpur masih memenuhi setiap ruang di rumah saya, hanya bahagian atas rumah masih dalam keadaan baik.

"Kami hanya mengharapkan ihsan orang ramai dan agensi seperti bomba untuk membantu membersihkan kawasan rumah," katanya yang lebih dikenali sebagai Pak Su oleh penduduk kampung.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Julai 2022 @ 8:21 AM