Mahdzir Khalid
Mahdzir Khalid
Samadi Ahmad


Putrajaya: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) mensasarkan 90 Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi tahun 2022 bertujuan memberi manfaat kepada 950,000 masyarakat di luar bandar dan Orang Asli di seluruh negara.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata KPI ditetapkan itu berteraskan Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB) 2030.

Katanya, program yang dipilih sebagai KPI bagi tahun ini sebahagiannya adalah program baharu dan ada juga program yang sememangnya dilaksanakan pada tahun sebelum ini.

"Walaupun program itu sudah dilaksanakan, KPLB mefokuskan kepada 'outcome' dan impak kepada masyarakat luar bandar dan Orang Asli pada tahun ini," katanya melalui satu kenyataan media, hari ini.

Keputusan penetapan sasaran KPI itu dicapai menerusi satu resolusi khas hasil Mesyuarat Hala Tuju Strategik KPLB 2022 yang berlangsung pada 9 hingga 11 Februari lalu di Teluk Bahang, Pulau Pinang.

Mesyuarat Hala Tuju Strategik KPLB itu turut bersetuju meletakkan batu asas pembentukan Kampung Sejahtera, satu inisiatif terbaharu kementerian itu untuk program transformasi kampung.

Mahdzir berkata, 90 program KPI yang dipilih adalah mewakili lapan teras utama DPLB merangkumi teras Modal Insan, Keusahawanan, Ekonomi, Prasarana, Sistem Penyampaian, Perumahan dan Pembangunan Wilayah serta teras Belia dan Wanita.

Menurutnya, pada masa ini kita berada dalam era kepantasan media sosial dimana segala masalah rakyat disebarkan menerusinya dan memerlukan tindakan segera daripada pihak Kementerian.

Justeru katanya, KPLB perlu mempunyai dimensi baharu dan merancang pelaksanaan kaedah baharu bagi merealisasikan proses tersebut supaya rakyat dapat menerima manfaat yang dijanjikan oleh kerajaan.

"KPLB akan memberi penekanan kepada mencari kaedah penyelesaian untuk menyegerakan pelaksanaan projek luar bandar mengikut tempoh masa yang ditetapkan.

"Selain memberi fokus kepada pengukuhan kerjasama strategik dengan pihak berkepentingan supaya segala sumber dan tenaga dapat dioptimumkan bagi mempercepatkan proses transformasi luar bandar," katanya.

Mahdzir berkata, bagi merealisasikan konsep Kampung Sejahtera ini, program di bawah semua sektor dan agensi KPLB perlu dilihat secara holistik.

Katanya, beliau amat yakin dan percaya dengan komitmen daripada seluruh keluarga besar KPLB usaha membangunkan kawasan luar bandar di seluruh negara akan menjadi kenyataan yang akan memberi kemudahan kepada generasi masa hadapan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Februari 2022 @ 3:54 PM