GAMBAR kenangan Muhammad Iman Aqmar bersama ibu (kanan) pada sambutan hari lahir ke 23 pada tahun 2020. FOTO Ihsan keluarga
GAMBAR kenangan Muhammad Iman Aqmar bersama ibu (kanan) pada sambutan hari lahir ke 23 pada tahun 2020. FOTO Ihsan keluarga
Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Allahyarham Muhammad Iman Aqmar Dzulkarnain, 24, yang hilang sejak 29 Oktober tahun lalu, sepatutnya bernikah dengan tunangnya bulan ini.

Bapa saudara Allahyarham, Azuni Abd Kadir, 47, berkata anak saudaranya itu sudah setahun bertunang dengan pilihan hatinya sebelum kejadian malang itu berlaku.

Katanya, majlis pernikahan Allahyarham pada awalnya dijadualkan berlangsung Januari lalu.

"Namun kerana bapa tunangan Allahyarham baharu meninggal dunia kira-kira dua bulan sebelum kehilangannya, keluarga sepakat menunda majlis pernikahannya pada bulan ini.

"Bagaimanapun, takdir Allah mengatasi segala perancangan kita. Allahyarham tiba-tiba hilang tanpa dapat dikesan 29 Oktober tahun lalu. Allahyarham sepatutnya bernikah bulan ini," katanya ketika dihubungi.

Kisah kehilangan Muhammad Iman Aqmar menjadi tular di media sosial tahun lalu, apabila adiknya memohon orang ramai mengesan abangnya selepas gagal dikesan.

Muhammad Iman Aqmar bergerak dari Pasir Gudang jam 1.30 pagi pada 29 Oktober ke Terengganu dengan memandu kereta miliknya, sebelum gagal dihubungi keluarga serta majikan tempat kerjanya.

Semalam polis dilaporkan menemukan satu rangka manusia dalam sebuah kereta yang ditarik keluar dari Sungai Api-Api di Nenasi, Pekan, dipercayai mayat seorang lelaki yang dilaporkan hilang sejak hampir 10 bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin, dilaporkan berkata mayat ditemukan dalam kenderaan Nissan Grand Livina yang dijumpai seorang lelaki warga emas ketika dia mengalihkan besi dari jalan ke tepi sungai berkenaan pada 11.40 pagi.

Kenderaan itu mempunyai kerosakan pada bahagian hadapan, kiri dan kanan, selain pemeriksaan di dalamnya menemukan mayat diselaputi lumpur serta pas pekerja yang didaftarkan atas nama Muhammad Iman Aqmar.

Siasatan awal polis terhadap nombor pendaftaran kenderaan mendapati ia dikaitkan dengan laporan kehilangan dibuat di Pasir Gudang, Johor oleh ahli keluarga mangsa.

Rangka mayat itu kemudian dilaporkan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk bedah siasat, manakala kenderaan itu ditarik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan bagi siasatan lanjut.

Dalam pada itu, Azuni berkata, ibu Allahyarham, Asmawati Kadir, 55, bersama waris keluarga yang lain akan ke HTAA esok pagi bagi membolehkan hospital mengambil sampel asid deoksiribonukleik (DNA) mereka bagi dibandingkan dengan rangka yang ditemui.

"Jika proses DNA berjalan lancar dan selesai awal esok, jenazah Allahyarham akan dibawa pulang ke Pasir Gudang pada sebelah petang untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pasir Putih.

"Insya-Allah pengebumian akan dibuat sama ada petang esok juga atau pagi Selasa," katanya.

Azuni berkata, ibu dan kesemua waris juga dijadualkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan bagi bertemu polis selain melihat kenderaan Allahyarham yang ditemui.

"Kami menunggu panggilan IPD untuk ke sana petang nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Julai 2022 @ 1:43 PM