LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Rosli Ilham


Chukai: Polis meminta orang ramai atau saksi kejadian seorang remaja berusia 15 tahun dibakar sekumpulan lelaki di Kampung Perasing Jaya Jabur, Kemaman, dekat sini, Jumaat lalu tampil bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan, berkata, polis percaya ada individu lain menyaksikan kejadian yang berlaku pada awal pagi itu, termasuk yang membantu memadam api pada badan mangsa.

"Selain itu, dipercayai ada individu yang membawa remaja terbabit pulang ke rumah mangsa yang terletak kira-kira 200 meter dari tempat kejadian.

"Kita meminta kerjasama saksi kerana kes ini sangat serius dan berkemungkinan mangsa akan mengalami kecacatan kekal akibat perbuatan itu," katanya.

Pada masa sama, Hanyan menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri dengan menghukum mana-mana individu biarpun individu itu bersalah sebaliknya perlu menyerahkan kepada polis.

Semalam, media melaporkan lelaki yang dipercayai suspek utama kes berkenaan direman selama lima hari

Suspek berusia 28 tahun itu ditahan kira-kira 6 petang kelmarin di sebuah rumah di Perasing, Kemaman.

Selain itu, polis turut menahan lima lagi individu berusia 18 hingga 25 tahun dipercayai terbabit dalam kejadian sama dan mereka direman selama enam hari bermula kelmarin.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Berita berkaitan:

  • Kekejaman mereka perlu dibalas hukuman setimpal [METROTV]
  • Suspek utama kes bakar remaja direman [METROTV]
  • Melecur dibakar rakan kerana dituduh mencuri
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Julai 2022 @ 2:33 PM