Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar
Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar
BERNAMA

Singapura: Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berkenan melawat Pangkalan Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) di Sembawang bersempena lawatan rasmi tiga hari baginda ke Singapura.

Ketibaan Sultan Ibrahim yang diiringi Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim disambut Menteri Pertahanan Singapura Dr Ng Eng Hen.

Turut hadir Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee dan Ketua Turus Udara Briged Jeneral Lau Boon Ping.

Delegasi Johor termasuk Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi, dan Setiausaha Kerajaan Johor Tan Sri Dr Azmi Rohani dan pegawai kanan yang lain turut bersama dalam lawatan ke RSAF itu.

Gambar foto lawatan dimuat naik di Facebook rasmi Sultan Ibrahim, semalam.

Sultan Ibrahim turut berkenan mendengar taklimat mengenai RSAF, melawat pameran helikopter CH-47F Chinook sebelum baginda menaiki helikopter berkenaan.

Sementara itu, Dr Ng juga memuat naik gambar beliau bersama Sultan Ibrahim di Facebooknya.

"Tetamu diraja yang sangat istimewa dan penting menaiki Helikopter CH-47F Tentera Udara Republik Singapura! Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar," tulis beliau.

Sultan Ibrahim dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke Singapura bermula Rabu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Julai 2022 @ 12:29 PM