Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini mengetepikan sabitan hukuman penjara 14 bulan terhadap seorang wanita yang mengaku salah mencuri dua paket Milo di sebuah pasar raya di Marang.

Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani memanggil kedua-dua pihak untuk semakan bagi kes tertuduh, Suhaini Mohd, 43, sebelum memutuskan sabitan di bawah kes berkenaan diketepikan dan disebut semula di Mahkamah Majistret Marang hari ini.

Keputusan itu dibuat selepas mahkamah mempertimbangkan hujahan pihak pendakwaan dan peguam tertuduh, Datuk Naran Singh.

Sementara itu ketika kes disebut semula di Mahkamah Majistret Marang, Suhaini mengaku tidak bersalah mencuri dua paket Milo di sebuah pasar raya di Marang jam 11.20 pagi pada 25 Mei lalu.

Tertuduh yang didakwa atas pertuduhan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

SUHAINI selepas prosiding di Mahkamah Majistret Marang hari ini, FOTOGHAZALI KORI
SUHAINI selepas prosiding di Mahkamah Majistret Marang hari ini, FOTOGHAZALI KORI

Sejurus pengakuan tertuduh direkodkan, Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda menetapkan 6 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000.

Selain itu, Engku Nurul Ain turut membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara bagi dua pertuduhan penyalahgunaan dadah selepas mendengar permohonan peguam kepada Suhaini sehingga rayuan selesai.

Bagi dua pertuduhan penyalahgunaan dadah, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000.

Selain itu, mahkamah turut menetapkan syarat tambahan iaitu perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali sepanjang prosiding berlangsung dan tidak melakukan sebarang jenayah sepanjang tempoh jaminan.

Pada 5 Julai lalu, media melaporkan seorang wanita dijatuhi hukuman penjara 14 bulan di Mahkamah Majistret Marang selepas mengaku bersalah mencuri dua paket Milo di sebuah pasar raya di Marang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Julai 2022 @ 7:09 PM