GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Wanita yang dijatuhkan hukuman penjara 14 bulan oleh Mahkamah Majistret Marang atas kesalahan mencuri dua peket Milo di sebuah pasar raya di Marang memfailkan notis rayuan terhadap keputusan mahkamah hari ini.

Peguam Datuk Naran Singh yang mewakili Suhaini Mohd, 43, berkata, notis usul bagi kebenaran merayu dan penangguhan pelaksanaan hukuman yang dijatuhkan terhadap anak guamnya sudah difailkan menerusi sistem e-filing di Mahkamah Majistret Marang pagi tadi.

"Pagi ini saya sudah masukkan notis untuk merayu Mahkamah Tinggi mengenai sabitan dan hukuman terhadap tertuduh.

"Saya juga sudah membuat permohonan supaya tertuduh dibawa ke Mahkamah Majistret Marang pada Rabu depan dan di situ, saya akan buat permohonan untuk penggantungan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.

"Selain itu, saya akan membuat permohonan supaya tertuduh dibenarkan diikat jamin dan rayuan penangguhan bukan saja dibuat untuk kes curi tetapi dua kes penyalahgunaan dadah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Naran berkata, tertuduh tidak diwakili peguam ketika hukuman dijatuhkan pada Selasa lalu.

"Saya tidak tahu apa yang berlaku di mahkamah pada hari kejadian sama ada dia (tertuduh) faham apa dibaca pada dia, sama ada kertas-kertas itu semua dalam keadaan teratur.

"Selain itu, semasa dia buat pengakuan, adakah dia faham apa yang berlaku terhadapnya sekiranya dia membuat pengakuan bersalah.

"Jadi itu semua patut kita teliti dan kita akan tengok bagaimana nanti," katanya.

Media sebelum ini melaporkan suri rumah dijatuhkan hukuman penjara 14 bulan oleh Mahkamah Majistret Marang kerana mencuri dua peket Milo di sebuah pasar raya di Marang pada 25 Mei lalu.

Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh membuat pengakuan bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Tertuduh yang juga seorang penagih dadah sebelum ini turut mempunyai tiga rekod jenayah lampau mencuri barangan pasar raya pada 2019 dan 2021.

Selain pertuduhan mencuri, tertuduh turut mempunyai dua lagi pertuduhan berkaitan penyalahgunaan dadah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Julai 2022 @ 4:49 PM