Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid. FOTO Amirudin Sahib
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid. FOTO Amirudin Sahib
Nurul Hidayah Bahaudin


Petaling Jaya: Identiti mangsa kes bunuh yang jatuh dari tingkat 17 sebuah kondominium di Kelana Jaya, di sini, 12 Julai lalu, masih belum dapat dikenal pasti.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, sehingga kini tiada individu tampil bagi mengenal pasti identiti mangsa yang dipercayai warga asing.

"Kita mohon bantuan daripada orang awam yang mempunyai maklumat mengenai mangsa untuk tampil membantu siasatan.

"Motif kejadian masih disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, di sini, hari ini.

Terdahulu, katanya, dua suspek yang ditahan pada 12 Julai lalu didapati mengenali mangsa menerusi aplikasi gay dan mangsa dipercayai sudah beberapa kali bertemu mereka di lokasi kejadian yang juga rumah suspek.

"Mangsa dipercayai meninggal dunia sehari sebelum mayatnya ditemui oleh pengawal keselamatan kondominium berkenaan dalam keadaan bogel," katanya.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan polis menahan dua lelaki tempatan masing-masing berusia 40-an yang dipercayai terbabit dalam kes itu dan merampas pelbagai barangan peribadi termasuk telefon bimbit serta beberapa peralatan seks.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Julai 2022 @ 3:58 PM