GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


Petaling Jaya: Polis menahan dua lelaki tempatan yang dipercayai terbabit dalam kes bunuh seorang lelaki yang jatuh dari tingkat atas sebuah bangunan di Kelana Jaya, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu jam 2.50 petang.

"Sepasukan anggota polis dikejarkan ke lokasi kejadian sebelum mendapati mayat seorang lelaki dipercayai warga asing dalam keadaan bogel.

"Setakat ini, kami belum mengenal pasti identiti mangsa berkenaan yang dianggarkan berusia lingkungan 30-an," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata, susulan itu, pihaknya menahan dua lelaki tempatan masing-masing berusia 40-an yang dipercayai terbabit dalam kes terbabit di sebuah kediaman di lokasi kejadian jam 10.15 malam tadi.

"Kami turut merampas pelbagai barangan peribadi milik suspek termasuk telefon bimbit serta beberapa peralatan seks.

"Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Julai 2022 @ 5:31 PM