BAHAGIAN perkarangan Balai Polis Tongod, Kinabatangan, yang runtuh ditutup kanvas. FOTO Ihsan APM
BAHAGIAN perkarangan Balai Polis Tongod, Kinabatangan, yang runtuh ditutup kanvas. FOTO Ihsan APM
Hazsyah Abdul Rahman


Kinabatangan: Semua penghuni kuarters di Balai Polis Tongod, dekat sini, diarahkan berpindah atas faktor keselamatan berikutan kejadian tanah runtuh di lokasi itu, semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Nurul Azlan Shah Jamaluddin berkata, pihaknya turut menasihatkan penduduk di situ agar berpindah atas sebab keselamatan.

"Langkah itu diambil sehingga mendapat keputusan siasatan daripada pihak berkaitan.

"Kawasan tanah runtuh berkenaan juga sudah diletakkan kanvas bagi menghalang air hujan sekali gus mengelak runtuhan baru," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah yang juga Sekretariat Jawatan Kuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah memaklumkan, dua pusat pemindahan sementara (PPS) diaktifkan susulan insiden tanah runtuh berkenaan.

Menurutnya, sebuah PPS dibuka di Rumah Rehat Pejabat Daerah Tongod dan sebuah lagi di Rumah Rehat Majlis Daerah Tongod.

"Seramai 31 individu daripada sembilan keluarga ditempatkan di dua PPS terbabit," katanya dalam kenyataan, di sini.

Semalam, kejadian tanah runtuh dilaporkan di perkarangan balai polis berkenaan kira-kira 2.45 pagi dipercayai akibat hujan berterusan sejak Rabu minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Februari 2022 @ 2:29 PM