Redzuan Muharam


Kuala Selangor: "Alhamdulillah, saya berasa beruntung kerana masih ada ayah dan mahu menjaganya sehingga akhir hayat," kata Nor Hasniza Abu Zarin.

Nor Hasniza, 30, dari Ijok, di sini meruntun hati netizen baru-baru ini selepas memuat naik video di TikTok miliknya @aniszarinwwk mengenai bapanya yang menerima kejutan hadiah.

Menerusi video itu, kelihatan Abu Zarin Yunus, 67, menangis kerana tidak dapat menahan sebak hingga mengesat air mata dengan baju.

Menurut Nor Hasniza, video itu dirakam untuk dijadikan kenangan dan kejutan dibuat selepas berpakat dengan adik beradik lain.

NOR Hasniza dan anaknya bergambar dengan bapanya, Abu Zarin Yunus. FOTO Ihsan NOR HASNIZA ABU ZARIN
NOR Hasniza dan anaknya bergambar dengan bapanya, Abu Zarin Yunus. FOTO Ihsan NOR HASNIZA ABU ZARIN

"Kebetulan, saya ada di kampung ketika itu dan kakak (Nor Hafiza Abu Zarin, 34) saya upah 'runner' (penghantar barang) untuk bawa hadiah sebagai kejutan buat ayah.

"Ayah nampak sedih selepas dapat hadiah namun dia ucapkan terima kasih kerana ingat dengannya. Dia turut doakan kami adik beradik dan kejutan itu sebenarnya dibuat bagi menggembirakan ayah dan tanda ingatan untuknya sempena hari bapa," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

ABU Zarin Yunus (duduk tengah) bergambar kenangan dengan  keluarga pada 1 Syawal lalu. FOTO Ihsan NOR HASNIZA ABU ZARIN
ABU Zarin Yunus (duduk tengah) bergambar kenangan dengan keluarga pada 1 Syawal lalu. FOTO Ihsan NOR HASNIZA ABU ZARIN

Bercerita lanjut, Nor Hasniza berkata, bapanya dulu sihat dan sangat aktif malah 20 tahun menjadi bilal masjid namun segalanya berubah selepas dia diserang angin ahmar pada Ogos 2021 dan diuji dengan masalah prostat pada 1 Syawal lalu.

"Ayah sempat berpuasa penuh malah keadaannya baik saja pagi raya (Aidilfitri) namun dimasukkan ke hospital pada sebelah petang dan hasil pemeriksaan mendapati dia ada masalah prostat.

"Kini ayah bergantung dengan tiub pada pundi kencing dan awal bulan depan baru dapat keputusan dari pakar mengenai keadaan prostatnya.

"Angin ahmar pula menyerang mulut ke kaki. Kini keadaan mulutnya sudah kembali normal dan boleh bercakap cuma tinggal tangan serta kakinya yang masih tidak kuat berjalan," katanya.

Nor Hasniza berkata, bapanya juga seorang yang manja, penyabar dan tidak pernah meninggikan suara.

"Cuma, sejak jatuh sakit ayah jadi lebih sensitif malah mudah sedih dan menangis. Ayah beritahu dia malu hendak ke masjid dan ke rumah saudara mara dalam keadaan memakai tiub dengan baldi di luar badan.

"Jadi, kami sekeluarga memberinya semangat dan buat masa ini, ayah tinggal berdua dengan emak (Sarimah Zainal, 59) di Palong, Negeri Sembilan namun saya juga dan adik beradik lain bergilir pulang ke kampung setiap minggu untuk bantu menguruskannya," katanya yang juga ibu kepada tiga anak dan kini giat sebagai usahawan produk berpantang berasaskan herba jenama Warisan Wak Kayah.

Di sebalik ujian itu, Nor Hasniza bersyukur kerana diberi peluang dan kesempatan untuk meluangkan lebih banyak masa dengan bapanya.

"Dulu ayah jarang memegang telefon namun kini hampir setiap hari ayah hubungi saya dan adik beradik lain kerana rindu mahu mendengar suara kami. Malah dia ingat telefonnya rosak jika tidak terima panggilan.

"Saya tak sangka video dimuat naik di TikTok itu akan raih tontonan ramai dan syukur serta berterima kasih kepada yang mendoakan.

"Ramai juga komen mengatakan saya bertuah kerana masih ada bapa dan ia sedikit sebanyak beri kesedaran pada diri saya untuk lebih hargai ayah, cuba jaga dia dengan sebaiknya dan tidak lukakan hatinya," katanya yang masih menaruh harapan untuk melihat bapanya sembuh.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Julai 2022 @ 6:54 PM